REKAAN luar yang kukuh serta membolehkan peranti berkenaan merakam gambar dalam keadaan hujan, salji dan sebagainya. FOTO NSTP
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

PERSOALAN besar yang sering diajukan adalah mengapa perlu menggunakan kamera fizikal jika kamera terbina dalam telefon pintar sudah memadai untuk merakam gambar penting atau pemandangan ketika melancong di luar negara?

Jawapannya mudah, iaitu kamera terbina dalam telefon pintar mempunyai had kemampuan yang sangat terbatas dan resolusi gambar yang terakam mungkin akan lebih rendah jika dipindahkan ke laptop anda.

Namun, jika memilih peranti kamera fizikal seperti Panasonic LUMIX G95, peranti ini mampu merakam pelbagai imej dalam pelbagai keadaan walaupun dalam suasana kurang pencahayaan yang sering menjadi ‘musuh’ utama bagi kamera telefon pintar.


KEUPAYAAN LUMIX G05 dalam merakam video 4K. FOTO NSTP

LUMIX G95 bukan kamera konvensional biasa sebaliknya ia adalah peranti yang menggabungkan keupayaan kamera mengagumkan dan teknologi terkini serta membolehkan pengguna merakam apa juga detik berharga tatkala melancong ke destinasi menarik.

Berdasarkan spesifikasi LUMIX G95, peranti itu dikelaskan sebagai ‘Digital Single Lens Mirrorless’ (DSLM) yang berkeupayaan merakam resolusi 20.3 megapixel (MP) dengan sensor ‘Live MOS’.

Peranti ini juga berkemampuan merakam video pada skala 4K Definisi Ultra (UHD) pada kadar 30p, 25p dan 24p selain menyokong kad memori tambahan.

LUMIX G95 mempunyai pemproses imej jenis Venus dan sambungan WI-FI serta Bluetooth untuk memudahkan pengguna menghantar gambar kepada peranti lain.

Berat bagi kamera ini hanya 1,016 gram (g) saja termasuk badan kamera bersama bateri dan kad memori tambahan. Ia tidak seberat kamera jenis ‘Digital Single Lens Reflex’ (DSLR) dan pengguna tidak perlu bimbang untuk menggalas beg kamera yang berat.


PANASONIC LUMIX G95 mampu menghasilkan imej lebih baik. FOTO NSTP

Imej rakaman yang terhasil menerusi LUMIX G95 sangat mengagumkan apabila pengguna boleh melihat tona warna sebenar di dalam gambar secara semula jadi tanpa pengubahsuaian.

Peranti ini dilengkapi dengan teknologi penstabilan imej lima penjuru (Dual I.S.2) sekali gus menghasilkan gambar terperinci tanpa kabur.

LUMIX G95 dilengkapi dengan skrin sesentuh 3 inci sudut bebas dan pengguna boleh menarik keluar skrin sesentuh itu jika ingin mengambil gambar gaya swafoto.

Pengguna juga tidak perlu bimbang jika anda seorang amatur dalam menggunakan kamera jenis DSLM kerana LUMIX G95 menggunakan antara muka mesra pengguna.

Penulis juga tidak begitu profesional ketika menggunakan kamera kelas itu namun dibantu oleh antara muka yang mudah difahami, pengguna boleh merakam gambar umpama jurugambar terlatih menggunakan peranti G95.

Imej yang terhasil sangat mengagumkan apabila gambar oleh dirakam dalam resolusi 4K serta menghasilkan tona warna semula jadi umpama kita melihat sendiri objek berkenaan di depan mata.

LUMIX G95

• SENSOR: 20.3MP Live MOS

• PEMPROSES IMEJ: Venus

• FOKUS AUTO: DFD contrast AF

• VIDEO: 4K UHD at 30p, 25p, 24p

• VIEWFINDER: OLED EVF, 2.36m dots, 100% coverage, 0.74x magnification

• PAPARAN: LCD 3 inci sudut bebas

• SAMBUNGAN: Wi-Fi, Bluetooth

• BERAT: 1,016g (badan peranti bersama bateri dan kad memori)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 10:25 AM