Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


JENAMA telefon pintar Samsung sebelum ini terkenal dengan pengeluaran produk bertaraf premium dan ia sudah dibuktikan dengan beberapa pengeluaran model yang berjaya termasuk peranti kelas mercu terbaru mereka, Samsung Galaxy S10+ yang begitu mengagumkan.

Mungkin bagi sesetengah pihak beranggapan bahawa Samsung hanya memberi fokus kepada kelas mercu atau premium tanpa melihat kepada peranti kelas permulaan yang banyak didominasi oleh pengeluar berpangkalan di China.

Namun, itu hanya persepsi yang seharusnya diubah apabila sejak awal tahun ini, Samsung mengorak langkah untuk mendominasi kelas permulaan dan juga pertengahan dengan beberapa model yang menawarkan spesifikasi terbaik.

Jika anda tidak begitu mahir terhadap produk Samsung, siri peranti bermula dengan huruf S adalah kelas mercu atau premium, siri A untuk kelas pertengahan manakala siri M untuk kelas permulaan.

Peranti terbaru keluaran syarikat itu, Samsung Galaxy M20 tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan beberapa peranti kelas permulaan kerana spesifikasi yang ditawarkan adalah antara yang terbaik.

Telefon pintar Galaxy M20 didatangkan dengan dua varian berbeza namun kedua-dua peranti masih menggunakan pemproses Exynos 7904 yang dipadankan dengan memori (RAM) 3GB atau 4GB berdasarkan kepada varian tertentu.


Samsung Galaxy M20 dengan dua varian berbeza tawar spesifikasi terbaik

Skrin paparan Samsung Galaxy M20 menggunakan 6.3 inci PLS TFT berteknologi IPS bagi menghasilkan tona warna yang lebih baik berbanding skrin paparan biasa.

Bagi peranti kelas permulaan, memiliki pemproses Exynos di samping skrin IPS adalah sangat baik kerana dua komponen ini selalunya digunakan untuk kelas pertengahan.

Selain itu, kamera utama untuk telefon pintar ini adalah 13 megapiksel (MP) + 5MP sudut lebar untuk membolehkan pengguna merakam gambar dalam sudut yang dekat.

Kamera swafoto pula menggunakan tetapan 8MP dan mampu untuk merakam video resolusi 1080p dengan kadar bingkai sesaat (FPS) sebanyak 30 FPS.

Kapasiti bateri juga amat baik apabila Samsung menggunakan 5,000mAh, sekali gus menjamin jangka hayat bateri untuk kekal bertahan walaupun penggunaan optimum seharian.

Penulis mendapati peranti ini adalah antara yang terbaik untuk kelas permulaan kerana memiliki ciri premium selain binaannya yang menggunakan kaca untuk skrin paparan serta permukaan plastik di bahagian belakang.

Spesifikasi yang baik juga membolehkan hampir semua aplikasi boleh dilaksanakan tanpa sebarang masalah dan prestasi bateri peranti ini adalah mengagumkan sehingga mampu bertahan lebih sehari penggunaannya.

Samsung Galaxy M20

PEMPROSES: Exynos 7904

RAM: 3 / 4GB

SISTEM OPERASI: Android 8.1 Orea

KAMERA UTAMA: 13MP + 5MP sudut lebar

KAMERA SWAFOTO: 8MP

BATERI: 5,000mAh

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 10:48 AM