HUAWEI akan terus utamakan pengguna termasuk kemas kini terkini.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.m

saufi@mediaprima.com.m

PENGGUNA Huawei tidak perlu bimbang dengan penarikan lesen daripada Google memandangkan ia hanya membabitkan peranti baru keluaran syarikat itu, manakala peranti sedia ada masih boleh menggunakan sistem operasi seperti biasa.

Huawei memberi jaminan bahawa pelanggan adalah keutamaan syarikat berkenaan dan berjanji akan cuba menyelesaikan isu itu.

Selain itu, pengeluar kedua telefon pintar terbesar berkenaan memberi bayangan akan menggunakan sistem operasinya sendiri jika tiada jalan penyelesaian dapat dicapai dengan Google dan itu adalah pelan sokongan syarikat berkenaan.

Pengguna di negara ini yang memiliki peranti Huawei tidak perlu resah dengan perkembangan berkenaan malah pihak pengurusan syarikat yang berpangkalan di China itu sudah memberi jaminan bahawa pengalaman pelanggan akan menjadi keutamaan mereka.

Penarikan lesen itu hanya membabitkan hak eksklusif perkhidmatan Google saja manakala platform sumber terbuka Android masih membenarkan syarikat itu menggunakan perisian berkenaan.

Dalam satu laporan mengatakan bahawa sistem operasi yang dibangunkan Huawei sebelum ini hanya pelan sokongan saja memandangkan syarikat itu memberi sokongan penuh kepada Android.

Syarikat berkenaan akan memberi keutamaan kepada sistem operasi Android dan Windows. Huawei tidak berhasrat untuk menggunakan sistem operasinya sendiri walaupun sudah membangunkan perisian berkenaan.

Huawei sebelum ini terkenal dengan pembekalan perkakasan Internet sebelum melebarkan sayap perniagaannya menerusi pengeluaran telefon pintar.

Jenama itu juga dikenali dalam kalangan pengguna sebagai syarikat yang berani melakukan inovasi termasuk menghasilkan telefon pintar dilengkapi kamera berkeupayaan tinggi.

Sebelum ini, Huawei adalah pemain industri utama dalam pembekalan infrastruktur Internet termasuk cip penghala atau ‘router’ dalam sambungan jalur lebar.

Pada masa sama, syarikat itu sudah membuat sumbangan yang banyak dalam pembangunan dan pertumbuhan Android di seluruh dunia.

Huawei sebagai satu daripada rakan kerjasama utama Android sudah bekerjasama dengan platform sumber terbuka berkenaan untuk membangunkan ekosistem yang menguntungkan pengguna serta industri.

Syarikat berkenaan akan terus memberikan kemas kini sekuriti dan perkhidmatan selepas jualan untuk semua produk telefon pintar dan tablet Huawei serta Honor, merangkumi produk yang sudah dijual dan juga produk dalam stok secara global.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 9:54 AM