ORGANISASI di Asia Pasifik kurang prihatin terhadap tahap keselamatan siber.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


MEMILIKI tahap keselamatan siber untuk sesebuah organisasi sememangnya perkara yang sangat penting kerana ia bukan saja mampu melindungi data sensitif sesebuah syarikat, malah maklumat pekerja.

Walaupun begitu, masih banyak organisasi yang berpusat di Asia Pasifik tidak begitu mengutamakan sistem keselamatan siber mereka dan ia dibuktikan menerusi kajian dilaksanakan firma penganalisis IT terkemuka, Frost & Sullivan.

Kajian itu mendedahkan, kegagalan organisasi di Asia Pasifik (APAC) untuk mengutamakan keselamatan siber sekali gus menjadi penghalang buat mereka untuk terus mengembangkan syarikat.

Kajian berkenaan mendapati, kebanyakan organisasi APAC tidak mengutamakan berhubung keselamatan siber semasa memulakan langkah untuk transformasi digital dalam rangkaian syarikat mereka.

Ia dibuktikan 83 peratus organisasi APAC tidak mengutamakan keselamatan siber dan mendedahkan sistem rangkaian terhadap pencerobohan mahupun berpotensi menjadi sasaran serangan.

Biarpun secara majoritinya, iaitu 72 peratus organisasi melaksanakan penilaian pelanggaran untuk melindungi organisasi mereka daripada serangan siber.

Selain itu, 55 peratus dalam kalangan organisasi APAC terdedah dengan serangan itu berikutan kurangnya keprihatinan berhubung sistem rangkaian yang baik.


PENGARAH Kanan Bahagian Kejuruteraan Pemasaran Forcepoint Asia Pasifik (Forcepoint APAC) Eric Chan.

Dapatan kajian itu juga mendedahkan bahawa faktor utama transformasi digital adalah penggunaan simpanan data awanan (cloud storage) dan 69 peratus organisasi di Asia Pasifik sudah menggunakan perkhidmatan itu.

Namun, kebanyakan pengendali organisasi berpendapat, tanggungjawab keselamatan siber terhadap khidmat data awanan itu adalah di bawah pengendali perkhidmatan berkenaan.

Pengarah Kanan Bahagian Kejuruteraan Pemasaran Forcepoint Asia Pasifik (Forcepoint APAC) Eric Chan berkata, organisasi perlu untuk melihat kepada aspek keselamatan siber kerana ia amat penting untuk perkembangan ke arah transformasi digital.

“Serangan siber boleh berlaku pada bila-bila masa kerana kita pada hari ini hidup dalam dunia digital tanpa sempadan dan semuanya adalah berkaitan jaringan Internet.

“Jika organisasi di Asia Pasifik kurang menumpukan perhatian kepada ancaman siber ini, tidak hairan jika banyak serangan siber ini berlaku dalam rantau Asia Pasifik,” katanya.

Katanya, hasil dapatan kajian itu juga mendapati majoriti organisasi sebenarnya sudah mengambil langkah keselamatan iaitu sebanyak 72 peratus dan melaksanakan penilaian pencerobohan pada setiap suku tahun.

“Walaupun tahap siap siaga yang begitu tinggi, 55 peratus organisasi berada dalam ancaman serangan siber atau pun sudah mempunyai insiden serangan siber.

“Hasil data kajian itu menunjukkan 35 peratus organisasi APAC pernah menghadapi serangan siber sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 12 bulan lalu,” katanya.

Berdasarkan ramalan Forcepoint awal tahun ini juga menyenaraikan sistem simpanan awanan bakal menjadi sasaran ancaman serangan siber sepanjang tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 12:23 PM