KAD grafik GTX 1660 Ti memberi lebih prestasi berbanding generasi GTX 1000
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


MEMILIKI sebuah ‘mesin’ desktop berkuasa yang mampu melaksanakan pelbagai tugas terutamanya kekal stabil dalam aspek kadar bingkai sesaat untuk bermain sebarang judul permainan sudah menjadi impian buat ‘kaki game’.

Namun, cabaran utama sebagai kaki gameuntuk mendapatkan sebuah desktop berkuasa adalah aspek kewangan kerana perkakasan komputer dalam kelas tinggi biasanya mempunyai tanda harga yang mahal.

Maka, tidak hairanlah ada kaki game yang mempunyai lebihan kewangan sanggup untuk berhabis puluhan ribu hanya untuk sebuah desktop yang dilengkapi dengan sistem penyejuk cecair bersama pam air untuk memberi suhu minimum kepada sistem.

Komponen komputer yang mempunyai tanda harga yang tinggi adalah pemproses dan juga kad grafik kerana dua perkakas ini umpama jantung dan deria sebuah desktop.

Untuk itu, kaki game tidak perlu berputus ada untuk mendapatkan sebuah kad grafik yang berkuasa namun mempunyai tanda harga yang mampu milik.

Kad grafik keluaran ASUS Republic of Gamers (ROG), Nvidia GeForce GTX 1660 Ti adalah jawapan untuk semua itu selain ia adalah kad grafik generasi baharu selepas siri GTX 1000.

Biarpun kad grafik ini masih menggunakan kod nama ‘GTX’ berbanding generasi terbaru yang menggunakan kod ‘RTX’, namun kad ini menawarkan kuasa yang sangat baik.

Jika dilihat daripada aspek prestasi, GTX 1660 Ti menawarkan lebih 70 peratus kuasa berbanding GTX 1070 dan sudah pasti pengguna akan mendapat pengalaman berbeza tatkala menggunakannya.

Walaupun masih menggunakan kod nama lama iaitu GTX, namun kad grafik ini dilengkapi dengan teknologi ‘Turing’ sama seperti generasi RTX.


MEMPUNYAI tiga kipas penyejuk untuk suhu minimum.

Kad grafik daripada barisan GTX 1660 Ti ini dikeluarkan oleh pelbagai jenama, namun seperti biasa, jenama ASUS ROG tidak pernah mengecewakan apabila memberikan prestasi yang sangat baik berbanding kad edisi pengeluar.

Untuk siri ASUS ROG GTX 1660 Ti, kad ini dilengkapi dengan tiga kipas penyejuk untuk memastikan suhu kad sentiasa terkawal walaupun menggunakan sepenuhnya potensi kad berkenaan sama ada untuk mod permainan atau pun tugasan sintesis imej serta video.

Berdasarkan spesifikasi kad ini, ASUS ROG menawarkan memori video (VRAM) 6GB namun mempunyai talaan kuasa dalam mod OC sebanyak 1,830MHz, manakala untuk mod permainan sebanyak 1,800MHz.

Struktur memori kad generasi ini menggunakan 192-Bit dan mempunyai teras CUDA sebanyak 1,536 termasuk mampu menyokong resolusi sehingga 7680 x 4320.

Kad grafik keluaran ASUS ROG ini menyokong sokongan paparan daripada jenis HDMI, DisplayPort dan HDCP.

Untuk pengguna yang ingin mendapatkan kad ini, anda memerlukan bekalan punca kuasa (power supply) sekurang-kurangnya 450 watt dan perkakasan ini menggunakan penghubung kuasa lapan pin.

Bagi semua kad grafik keluaran ASUS ROG termasuk GTX 1660 Ti, anda boleh melakukan pengubahsuaian dalam talaan prestasi menerusi perisian terbina iaitu GPU Tweak dan kad ini turut dilengkapi dengan sistem pencahayaan RGB.

SPESIFIKASI

• Teras CUDA: 1,536

• Struktur memori: 192-Bit

• Mod Permainan: 1,800MHz

• Mod OC: 1,830MHZ

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 11:23 AM