ACER perkenal CONCEPTD untuk segmen kreatif.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


PERKEMBANGAN industri kandungan kreatif dunia menjadi sektor yang mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada rantaian ekonomi baru dalam negara membangun seperti Malaysia.

Disebabkan itu, sejak 10 tahun lalu, Malaysia menerusi pemain industri mula agresif melahirkan lebih banyak karya atau kandungan kreatif untuk diperdagangkan di pasaran asing.

Malah, kepesatan industri itu juga memainkan peranan penting bagi menjamin masa depan penuntut universiti yang mengambil jurusan berkaitan industri kreatif supaya tidak berlaku isu pengangguran atau kesempitan mendapatkan pekerjaan dalam bidang itu.

Disebabkan itu, penghasilan perisian untuk menghasilkan kandungan kreatif seperti Adobe Inc (Adobe) yang dilihat popular dalam kalangan jurutera bidang berkenaan amat membantu mereka untuk berkarya.

Apabila bercakap mengenai perkakasan untuk kandungan kreatif, pastinya produk Apple Inc (Apple) paling menjadi sebutan kerana prestasi kerjanya yang dikatakan paling terbaik.

Acer tidak pernah mengecewakan dalam barisan produk keluarannya yang bukan saja mampu memberikan prestasi mengagumkan malah mampu menandingi beberapa jenama utama lain.

Baru-baru ini, ketika memperkenalkan rangkaian produk tahunan Acer, next@Acer memberi kejutan kepada pemain industri teknologi maklumat kerana memperkenalkan portfolio perniagaan mereka yang baru dalam segmen industri kandungan kreatif iaitu ConceptD.

Acer adalah syarikat pengeluar laptop serta kini mempunyai kekuatan dalam segmen permainan video menerusi kod produk ‘Predator’ yang mula mengorak langkah untuk mendominasi penguasaan pasaran global.

Sejak 2008, Predator mula memberi cabaran kepada pemain industri permainan video yang lain kerana kemampuannya menghasilkan perkakasan yang dikatakan berprestasi tinggi.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Acer Jason Chen berkata, dalam tempoh tiga tahun, syarikatnya melaburkan berbilion Amerika Dolar (USD) bagi membangunkan perniagaan Predator dan memberi pulangan yang baik kepada Acer.


RANGKAIAN produk untuk industri kandungan kreatif serba lengkap disediakan Acer di dalam ConceptD.

Beliau berkata, dalam tempoh itu, Acer mendapati kira-kira 50 peratus pengguna perkakasan permainan turut menggunakan peranti itu dalam kerja produktiviti yang lain dan sekitar 15 peratus pemilik perkakasan itu tidak menggunakannya untuk tujuan bermain sebarang permainan digital.

“Sejak itu kami mula berfikir mengenai ada sesuatu yang perlu dikembangkan syarikat bagi membantu golongan ini yang tidak mempunyai pilihan lain untuk melakukan kerja produktiviti (kandungan kreatif) dan menggunakan perkakasan permainan digital untuk tujuan itu.

“Predator mempunyai prestasi kerja yang baik dan mampu menyokong kerja produktiviti yang tinggi dan disebabkan itu, kami menghasilkan ConceptD yang khusus untuk industri kreatif dengan menambah elemen yang diperlukan oleh pemain industri berkenaan,” katanya.

ConceptD menyenaraikan lapan produk premium untuk penghasilan kandungan kreatif merangkumi monitor, desktop, notebook dan peranti realiti maya (VR).

Tahun lalu, Acer menerusi perniagaan di Asia Pasifik termasuk Malaysia mencatatkan perolehan sekitar RM11.5 bilion (USD2.2 bilion) dengan Malaysia menyumbang kira-kira sembilan peratus daripada angka berkenaan.

Daripada jumlah itu, 40 peratus kuantiti disumbangkan oleh segmen komersial.

Jason berkata, syarikatnya perlu berusaha lebih untuk memastikan ConceptD dapat diterima pemain industri kerana ia jenama baru yang pastinya berdepan dengan cabaran untuk menempatkan diri dalam kalangan pengguna yang sudah biasa menggunakan produk Apple sejak sekian lamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 7:30 AM