HUAWEI dilarang memasuki pasaran Amerika Syarikat atas alasan keselamatan.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


SEKATAN teknologi yang dikeluarkan Amerika Syarikat (AS) terhadap syarikat gergasi Huawei, umpama tidak menunjukkan jalan penyelesaian malah memasuki ‘episod’ baru apabila Agensi Perisikan Persekutuan (CIA) mengeluarkan dakwaan terbaru mengaitkan syarikat berkenaan.

CIA mendakwa mereka mempunyai bukti kukuh terhadap tuduhan bahawa syarikat berpangkalan di China itu menerima dana daripada pihak keselamatan dan ketenteraan negara republik berkenaan iaitu China.

Menerusi laporan ‘The Times of London’, agensi itu menuduh Huawei menerima dana daripada pihak keselamatan China termasuk bahagian ketenteraan republik itu.

Secara khusus dalam laporan itu menyatakan, dana diterima daripada Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA), Suruhanjaya Keselamatan Negara China dan Cawangan Ke-3 Perisikan Negara China.

Malah dilaporkan, CIA membentangkan bukti yang dimiliki mereka hasil risikan terhadap Huawei kepada Australia, Kanada, New Zealand dan United Kingdom pada awal tahun ini.

Lima negara itu sudah menandatangani perjanjian perkongsian bersama sumber maklumat risikan antara satu sama lain.

Bagaimanapun, CIA mengatakan mereka mempunyai bukti atas tuduhan yang dilemparkan itu namun ia bukanlah bukti empirikal berkaitan hasil risikan mereka.

Pada masa sama, Huawei menafikan tuduhan berkenaan dengan menyifatkan bahawa ia adalah tindakan untuk menjatuhkan kredibiliti jenama berkenaan.

Biarpun tanpa bukti kukuh, kerajaan AS sudah lama mengesyaki serta berwaspada terhadap Huawei yang dianggap boleh mengancam keselamatan negara mereka.

Malah, agensi persekutuan AS sudah menyekat penggunaan teknologi Huawei dan mereka turut dilaporkan cuba menghalang sekutu mereka daripada membenarkan syarikat dari China itu membina infrastruktur rangkaian tanpa wayar 5G dalam negara sekutu mereka.

Akibat larangan itu, Huawei sudah mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman terhadap AS pada bulan lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 5:30 AM