PENUBUHAN CAIFI meletakkan Malaysia di dalam peta sebagai negara digital pertama.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


EVOLUSI teknologi pada hari ini sudah merangkumi kecerdasan pemproses komputer untuk mempelajari corak kehidupan manusia, sekali gus berupaya memudahkan urusan seharian.

Pembangunan teknologi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) bukan lagi satu mimpi atau teori filem Hollywood sebaliknya perkara itu sudah mencapai kepada tahap praktikal seharian.

Revolusi industri 4.0 juga diramal akan bertitik tolak kepada kemampuan AI untuk memudahkan urusan pekerja serta mengelakkan daripada sebarang pertindihan tugas.

Jika sedekad lalu, umum hanya melihat kemampuan AI ini menerusi filem Hollywood yang memaparkan teknologi berkenaan membantu kehidupan manusia dalam membuat sebarang keputusan.

Perkara itu bukan lagi satu teori malah sudah digunakan secara meluas di beberapa negara maju dan Malaysia yang meletakkan objektif untuk mencapai status negara maju tahun depan tidak ketinggalan.

Sejajar dengan matlamat Malaysia untuk menjadi destinasi industri berteknologi tinggi menjelang 2025, Agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara, MIMOS Bhd bersama Microsoft menubuhkan Pusat Terapan Kecerdasan Buatan (AI) yang dinamakan ‘Pusat AI Industri Masa Depan’ (CAIFI).


MALAYSIA berhasrat untuk menjadi negara digital. FOTO Azhar Mat Ganti

Kerjasama strategik itu menandakan komitmen kedua-dua pihak untuk mempercepatkan peralihan negara kepada sistem penyimpanan data awam (cloud storage).

Ia juga meletakkan Malaysia di dalam peta untuk menjadi negara digital pertama seperti yang disusun mengikut Dasar Negara dalam Industri 4.0.

Kerjasama antara MIMOS dan Microsoft itu diumumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Darell Leiking, pada lawatannya ke Ibu Pejabat Microsoft di Redmond, Amerika Syarikat (AS) dan ia juga satu daripada misi pelaburan kementerian berkenaan.

Leiking pada lawatan itu turut menyatakan bahawa antara pembelajaran utama dari negara yang sudah memulakan transformasi Industri 4.0 adalah keperluan untuk memberi perhatian dan mengguna pakai teknologi moden ke dalam pelan digital dan ekosistem negara.

“Pusat ini akan dapat mempercepatkan keupayaan pembangunan dan alat yang diperlukan untuk meningkatkan kecerdasan dan memanfaatkan teknologi moden seperti AI di Malaysia.


LEIKING bersama wakil Microsoft Hossein Nowbar. FOTO Azhar Mat Ganti

“Penubuhan pusat ini diharapkan dapat mewujudkan budaya inovasi dan pembelajaran berterusan untuk meningkatkan penggunaan cloud, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara digital penting pada masa depan,” katanya.

Pusat ini akan dilengkapi dengan program Internet Kebendaan (IoT) dan AI Microsoft selain menyediakan capaian kepada alat pembangunan untuk tujuan pembelajaran.

Semua bengkel, latihan dan makmal berkaitan AI dan IoT akan dilaksanakan bagi membantu usahawan melatih termasuk Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) dan graduan daripada industri kewangan serta pembuatan untuk memanfaatkan kuasa teknologi baru ini.

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia K Raman berkata, pihaknya kini berada di awal era baru yang dibina di atas awan (cloud) dan teknologi berasaskan data.

Beliau berkata, Microsoft berharap dapat memainkan peranan dalam menetapkan hala tuju Malaysia ke arah menjadi peneraju dalam inovasi serta kemahiran teknologi, menyesuaikan diri dengan Industri 4.0.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 1:00 PM