VARIAN terbaru Galaxy S10 Plus beri lebih kuasa dalam aspek memori. FOTO Owee Ah Chun
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


VERSI baru Samsung Galaxy S10 Plus akan dilengkapi dengan memori 12GB RAM dan storan 1TB iaitu spesifikasi laptop untuk sebuah telefon pintar.

Walaupun sudah melancarkan telefon mercu iaitu Galaxy S10 di Malaysia beberapa minggu lalu, Samsung meneruskan penguasaan dengan kemasukan varian baru peranti berkenaan.

Penawaran varian terbaru Galaxy S10 Plus ini akan memberi lebih kuasa dalam aspek memori, sekali gus peranti berkenaan tidak akan mempunyai masalah untuk melancarkan sebarang aplikasi.

Malah, sesetengah laman web penganalisis menyifatkan bahawa spesifikasi seumpama itu bertaraf sebuah laptop dan mampu untuk menjalankan kerja sintesis imej serta video.

Pertambahan sistem memori kepada 12GB akan memberikan lebih kuasa kelajuan kepada peranti.

Ia juga membolehkan pengguna membuka pelbagai tetingkap tanpa perlu menamatkan proses terdahulu kerana kapasiti RAM mampu untuk menggalas sebarang tugasan.

Ketika pelancaran varian terbaru itu, ia membawakan tanda harga RM5,999 dan hadir dengan beberapa hadiah percuma secara eksklusif kepada pembeli.

Siri Galaxy S kini adalah generasi ke-10 peranti berkenaan sejak ia dilancarkan dan siri berkenaan antara yang paling berjaya setakat ini bagi produk keluaran Samsung.

Peranti jenis itu turut menawarkan spesifikasi terkini dengan sokongan kamera berkualiti tinggi termasuk mampu merakam gambar dalam keadaan pencahayaan kurang.

SPESIFIKASI

• PEMPROSES: Exynos 9820 / Snapdragon 855

• RAM: 12GB

• STORAN: 1TB

• KAMERA: 12MP + 12MP + 16MP

• BATERI: 4,100mAh

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 12:30 PM