PANEL melengkung memberikan kepuasan berganda.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


JIKA anda seorang ‘kaki games’ dalam pelbagai genre terutama berkonsepkan penembak pertama (FPS) ataupun gemar mengembara seperti siri permainan Assassins's Creed, sudah pasti menjadi satu kemestian untuk menggunakan skrin paparan yang luas.

Memiliki skrin paparan bersaiz lebar bukan saja mampu memberikan sudut penglihatan yang luas malah pemain akan melihat latar babak permainan dalam mod panorama.

Mungkin juga bagi sesetengah pemain, skrin paparan yang bercirikan keperluan berkenaan memerlukan bajet yang besar namun ia satu persepsi kurang tepat kerana anda boleh menikmati paparan berkenaan pada harga kurang RM4,000.

Bagi semua keperluan itu, skrin paparan yang terbaik untuk sudut ultra adalah produk keluaran ASUS Republic of Gamers (ROG) iaitu model XG49VQ bersaiz 49 inci.

Ini adalah skrin paparan yang mempunyai sudut penglihatan paling luas setakat ini dan pemain boleh menikmati sebarang judul permainan terutama bagi konsep pengembaraan menikmati panorama permainan secara maksimum.

Resolusi skrin ini adalah 3840 x 1080 dan kadar segar semula adalah 144Hz. Ia juga sesuai untuk semua jenis genre permainan termasuk FPS.

Untuk permainan FPS, skrin paparan ini menawarkan pemiliknya penglihatan yang sangat baik tanpa perlu mengalihkan tetikus untuk melihat musuh di sudut kiri atau kanan.


REKAAN yang dinamik membolehkan skrin ini digunakan untuk sebarang mod.

Bagaimanapun, penulis cuba bermain bagi genre FPS menerusi skrin paparan ini dan peringkat awal ia agak memeningkan kerana perlu melihat ke kiri dan kanan dalam sudut yang luas.

Selepas pemain membiasakan dengan keluasan skrin paparan itu, permainan akan lebih menarik kerana resolusi paparan yang luas dan mengagumkan.

Skrin ini diklasifikasikan sebagai paparan 'Super Ultra Luas' dan ia turut dilengkapi dengan teknologi HDR untuk menghasilkan kualiti gambar lebih baik.

Ia juga menyokong teknologi kad grafik FreeSync 2 HDR dan keupayaan itu akan mengelakkan sebarang bentuk gangguan dalam permainan seperti imej terkoyak dan sudut tajam pada video terhasil.

Teknologi Shadow Boost bagi skrin paparan ini juga meningkatkan penghasilan imej terutama ketika di kawasan gelap atau terlalu terang.

Pengguna juga boleh memilih tetapan yang sesuai untuk mod HDR seperti mod permainan, paparan video dan pembikinan bahan.

Secara keseluruhannya, skrin paparan ini antara yang terbaik jika mengambil kira aspek paparan sudut luas dan ia turut dilengkapi dengan beberapa teknologi terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 11:00 AM