ANNO 1800 dilancarkan 16 April lalu.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


BAGI penggemar permainan bergenre strategi, anda mungkin meminati beberapa segmen konsep permainan bermula daripada zaman purba sehingga kepada peperangan moden.

Siri permainan strategi untuk peperangan moden yang masih kekal dalam ingatan adalah ‘Red Alerts’ atau peperangan galaksi ‘Starcraft’ dan konsep peperangan zaman dulu iaitu siri ‘Anno’.

Penulis percaya ‘kaki games’ akan mengetahui ketiga-tiga judul berkenaan yang boleh dikatakan epik dalam genre serta konsep masing-masing dan minggu ini, IT@Metro akan melihat permainan yang dilancarkan dalam versi terbaru, Anno 1800.

Secara asasnya, permainan ini menampilkan konsep pemain sebagai pembangun sesebuah negara dan perlu untuk memerhatikan setiap bekalan dalam negara anda mencukupi termasuk penduduknya gembira dengan cara pemerintahan anda.

Bermula daripada konsep itu, Anno berkembang kepada sebuah permainan strategi paling mencabar kerana ia bukan saja menampilkan aspek peperangan, tetapi paling utama pemain perlu melihat aspek bekalan domestik dan memenuhi kehendak rakyat.

Itu adalah konsep yang ditampilkan untuk semua siri Anno. Permainan berkenaan mula diperkenalkan pada 1998 dengan siri Anno 1608 dan sebelum penerbitan Anno 1800, pembangun siri itu melancarkan Anno 2205 pada 2015.


KONSEP permainan masih menampilkan ciri sama iaitu mengutamakan bekalan domestik dalam negara maya.

Terkini, permainan Anno 1800 mula dilancarkan Isnin minggu ini dan masih mengekalkan konsep permainan seperti siri terdahulu iaitu pemain perlu menjadi pemimpin dalam negara maya mereka.

Jika dibandingkan dengan siri pertama 11 tahun lalu, Anno masih kekal sebagai permainan strategi yang paling unik kerana mengambil kira pelbagai aspek termasuk bekalan domestik dan kehendak rakyat dalam negara maya itu.

Menyentuh aspek ketelitian grafik untuk siri terbaru itu, pembangun permainan berkenaan iaitu Blue Byte sangat teliti dan semua butiran rekaan infrastruktur boleh dilihat dengan begitu baik.

Namun, untuk siri ini, pemain perlu menjadi pemimpin ketika tahun 1800 dan penjelajahan benua baru dibuat menerusi kapal merentasi perairan.

Bagi pemain yang tidak suka dengan latar masa berkenaan, ia mungkin agak membosankan namun membangunkan sebuah negara untuk menjadi kuasa ekonomi adalah cabaran buat pemain.

Siri itu juga akan mendedahkan pemain kepada bencana alam seperti puting beliung, gempa bumi dan sebagainya serta insiden itu akan merosakkan infrastruktur yang sudah dibina.

Secara keseluruhannya, Anno 1800 sebuah permainan yang baik untuk dimainkan oleh penggemar genre strategi kerana ia membawa satu mekanisme baru dalam permainan.

Ia bukan hanya menyentuh aspek peperangan semata-mata tetapi paling penting adalah membangunkan negara serta membina segala macam kemudahan.

PENILAIAN PENULIS

• KONSEP PERMAINAN: 4.5 / 5

• KEUPAYAAN GRAFIK: 4 / 5

• BOLEH BELI: 4 / 5

• TAHAP KESUKARAN: 3.5 /5

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 10:30 AM