APPLE Arcade akan mempunyai judul permainan berkualiti.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


JENAMA Apple Inc mungkin kurang popular dalam kalangan penggemar sukan elektronik kerana peranti keluaran syarikat gergasi berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu

kurang memberi penekanan dalam segmen berkenaan.

Kebanyakan produk keluaran Apple lebih memfokuskan kepada keutamaan pengguna dan antara produk paling berjaya adalah siri iPhone dan Macbook kerana memiliki sistem operasi yang ‘ringan’ serta mudah digunakan.

Namun, perkembangan sukan elektronik sejak tiga tahun lalu membuka ruang kepada beberapa jenama lain untuk terus menjadi pemacu utama dan Apple sudah pasti tidak mahu ketinggalan dalam arus berkenaan.

Ia berdasarkan segmen sukan elektronik sebenarnya mempunyai potensi pasaran yang lebih luas dan kebanyakan pengguna dalam segmen ini dikategorikan sebagai golongan muda yang gemar bertukar pelbagai gajet.

Apple baru-baru ini dilihat mengumumkan beberapa perkhidmatan langganan baru dan antara yang paling mencuri perhatian adalah Apple Arcade iaitu platform perkhidmatan langganan permainan yang membolehkan pengguna memainkan permainan komputer melalui mana-mana peranti Apple.

Menerusi platfrom itu, ia bukan saja memberi fokus kepada peranti iPhone saja malah diperluaskan kepada iPad dan juga peranti komputer dan komputer riba Mac.

Menurut laporan Financial Times, Apple dikatakan membelanjakan beratus juta dolar untuk memastikan bahawa platform Apple Arcade mempunyai banyak permainan-permainan berkualiti tinggi apabila ia dilancarkan kelak.

Sumber Financial Times juga berkata, Apple membelanjakan berjuta-juta dolar untuk kebanyakan daripada 100 tajuk permainan komputer yang akan tiba pada platform terbabit yang dianggarkan melebihi jumlah RM2 bilion.

Ia menunjukkan kesungguhan Apple untuk tidak terus ketinggalan dalam segmen sukan elektronik yang semakin berkembang pesat dan potensi pasaran baru untuk syarikat gergasi berkenaan.

Dalam pada itu, Apple turut dikatakan akan memberi pembangun permainan habuan yang lebih tinggi jika mereka melancarkan permainan baru pada platform Apple Arcade secara eksklusif buat masa terhad sebelum ia dilancarkan pada platform lain.

Ini langkah yang agak menarik oleh Apple kerana Google juga dilihat akan melancarkan perkhidmatan penstriman permainan mereka sendiri melalui Google Stadia.

Perkhidmatan itu akan menawarkan ciri-ciri yang lebih menarik berbanding dengan apa yang ditawarkan Apple.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 10:00 AM