IMEJ daripada mod Super Macro.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

JIKA anda pemilik peranti Huawei P30 Pro, sudah pasti ia perkara yang baik memandangkan telefon pintar itu menawarkan kamera terbaik dalam kelasnya.

Bagaimanapun, jika anda tidak mempunyai pengetahuan yang sepatutnya untuk menggunakan kamera telefon pintar itu, ia satu kerugian kerana kamera tiga lensa itu berkeupayaan untuk merakam gambar biarpun terletak dalam jarak yang jauh.

IT@Metro minggu ini akan memberikan beberapa tip dan helah untuk pemilik peranti Huawei P30 Pro dan anda boleh mencubanya sendiri memandangkan kebanyakan atur cara kamera peranti itu diletakkan dalam mod automatik.


MENGGUNAKAN lensa biasa tanpa pembesaran imej.

1. Mengambil gambar malam atau pencahayaan yang kurang

Untuk kebanyakan kamera lain, mengambil gambar ketika pencahayaan kurang atau dalam gelap malam adalah satu cabaran. Malah, gambar berkenaan boleh disifatkan sebagai ‘tidak menjadi’ apabila hanya merakam gambar gelap yang kabur.

Bagaimanapun, pemilik peranti Huawei P30 Pro tidak perlu khuatir kerana telefon pintar jenis itu berkeupayaan untuk merakam imej yang sangat baik walaupun dalam keadaan malam.

Tip paling penting untuk pengguna adalah mereka perlu menggunakan mod malam atau ‘Night’ yang boleh dipilih pada atur cara kamera dengan menarik gelongsor ke tepi sehingga menjumpai mod itu.

Selepas itu, pengguna menghalakan kamera mereka ke kawasan yang ingin dirakam dan memegangnya secara stabil dalam tempoh kira-kira lima saat.

Ini bagi membolehkan sensor kamera peranti itu untuk menarik cahaya masuk ke dalam sistem kamera dan menghasilkan kualiti gambar terbaik walaupun dalam keadaan gelap malam.

Anda akan mendapati gambar yang terhasil mempunyai kualiti terbaik dan boleh merakam apa saja pemandangan termasuk penglihatan bintang di langit.


ZOOM 5X masih jelas.

2. Menggunakan zoom pada peranti

Keunikan Huawei P30 Pro adalah terletak pada keupayaan kamera yang mampu untuk merakam imej atau tulisan secara jelas walaupun daripada jarak jauh.

Kamera telefon lain mungkin berkeupayaan untuk membesarkan imej, namun gambar akan kelihatan ‘pecah’ apabila pengguna membesarkan gambar secara maksimum.

Untuk peranti P30 Pro, telefon pintar ini berkeupayaan untuk membesarkan imej sebanyak 50 kali dan membezakan dengan peranti lain adalah gambar yang dirakam akan lebih jelas termasuk tulisan.

Pengguna boleh mencuba keupayaan ‘zoom’ ultra ini hanya dengan menekan skrin kamera pada petunjuk 1X, 5X, 10X dan 50X. Ia adalah petunjuk pembesaran imej.

Bagi pembesaran imej 1X, ia akan merakam imej biasa manakala untuk 5X, 10X dan 50X adalah mod pembesaran imej. Penulis mencuba sendiri mod berkenaan dan hasilnya begitu menakjubkan.

Walaupun penulis berdiri kira-kira 300 hingga 400 meter daripada objek yang mempunyai tulisan, namun imej yang dibesarkan masih jelas merakam bentuk struktur dan tulisan pada struktur berkenaan.

Tidak hairanlah laman web penilai fotografi, DXOMark meletakkan markah tertinggi iaitu 112 kepada peranti P30 Pro kerana berkeupayaan untuk membesarkan imej sebanyak 50X tanpa merosakkan gambar yang terhasil.


ZOOM 10X imej bangunan dan tulisan masih kelihatan.

3. Teknologi mod kamera ‘super macro’

Pengguna yang suka mengambil gambar makanan atau alam semula jadi mungkin akan terpesona dengan teknologi ini apabila anda mampu untuk menangkap imej dengan jarak yang dekat.

Bagi telefon pintar biasa, untuk merakam gambar pada jarak dekat di samping mengekalkan warna menarik makanan, tumbuhan atau serangga adalah perkara mustahil.

Namun, keadaan itu tidak menjadi masalah jika anda menggunakan peranti Huawei P30 Pro dengan mod Super Macro sekali gus membolehkan anda mengambil imej pada jarak yang sangat dekat.

Mod ini juga membolehkan warna gambar lebih terang umpama anda menggunakan kamera profesional sedangkan imej dirakam hanya menggunakan telefon pintar.

Keupayaan kamera peranti Huawei P30 Pro tidak boleh dipersoalkan lagi kerana ia lengkap dengan bermacam mod yang membolehkan pengguna merakam sebarang gambar dalam sebarang keadaan.


ZOM 50X tetap menghasilkan gambar yang jelas di samping tulisan yang boleh dibaca.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 11:39 AM