BOE cuba cabar penguasaan Samsung.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

PEMBEKAL utama paparan OLED bagi siri Huawei Mate 20 iaitu BOE dilaporkan akan memberi saingan kepada Samsung dalam pasaran berkenaan.

Difahamkan, BOE akan meningkatkan pengeluaran skrin OLED bersama sensor sentuhan dengan menaik taraf kelengkapan mereka di Sichuan, China.

Buat masa ini, paparan OLEH yang digunakan dalam peranti terkemuka berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) iaitu Apple Inc, iPhone hanya dibekalkan oleh dua syarikat terkemuka iaitu Samsung dan LG.

Samsung sudah lama menerajui pasaran OLED dan syarikat itu antara satu-satunya pembekal yang mampu memenuhi permintaan Apple.

BOE sudah pun membekalkan paparan untuk iPad dan Macbook dan ia berkemungkinan besar menjadi pembekal kepada iPhone generasi akan datang.

Bagaimanapun, wujud kemungkinan bahawa campur tangan kerajaan AS dalam perkara itu memandangkan pentadbiran negara berkenaan melihat perkakasan teknologi daripada China mempunyai unsur pengintipan.

Mungkin juga Apple Inc akan terus menggunakan khidmat Samsung dan LG untuk skrin paparan iPhone mereka berdasarkan keputusan kerajaan AS yang begitu mengekang kemasukan teknologi China terutamanya Huawei.

Sehingga kini, AS sudah memberi amaran kepada rakan sekutunya iaitu Jerman, untuk mengurangkan pembabitan Huawei dalam infrastruktur telekomunikasi mereka.

AS juga memberi amaran kepada Jerman untuk mengurangkan perkongsian maklumat risikan dengan negara itu jika mereka masih meneruskan hasrat untuk menggunakan khidmat Huawei.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 10:59 AM