SKRIN paparan ASUS ROG Swift PG27U terbaik di pasaran.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

JIKA anda seorang kaki ‘games’ bertaraf AAA atau bekerja sebagai pensintesis animasi atau video (video/animation rendering), sudah pasti memerlukan sebuah desktop yang mempunyai perkakasan terkini.

Tambahan pula anda seorang yang mahukan kelancaran prestasi tanpa sebarang gangguan seperti lagged serta desktop itu mampu untuk melaksanakan pelbagai tugasan serentak.

Penulis mungkin ada beberapa cadangan untuk itu, namun sediakan saja ‘RM’ dan anda akan menikmati sebuah desktop terkini bukan saja terbaik dari aspek prestasi, malah kualiti gambar atau video yang terhasil mengagumkan.

Untuk itu, skrin paparan perlulah yang terbaik di pasaran serta dipadankan dengan pemproses, papan induk (motherboard), kad grafik, memori (RAM) dan sistem storan Solid State Drive (SSD) ataupun M.2 Drive.


KAD grafik ASUS ROG RTX 2080Ti untuk prestasi yang baik.

Bagaimanapun, untuk semua kelengkapan berprestasi tinggi itu perlukan nilai pelaburan yang tinggi kerana desktop jenis itu umpama sebuah Ferrari yang mempunyai enjin talaan V12.

Minggu ini penulis akan menyenaraikan beberapa kelengkapan penting seperti papan induk, kad grafik dan skrin paparan yang sesuai dengan keperluan prestasi tinggi seperti yang diperkatakan pada awal tadi.

Bagi padanan skrin paparan pula, terdapat beberapa jenama utama, namun yang paling mengagumkan adalah ASUS ROG Swift PG27U memandangkan ia adalah skrin yang menggunakan Quantum Dot serta panel IPS.

Selain itu, kadar segar semula bagi skrin ini adalah 144Hz selain ia menyokong teknologi Definisi Ultra (UHD) 4K HDR untuk menghasilkan imej atau warna sebenar serta teknologi Nvidia GSYNC.

Penulis boleh katakan skrin paparan ini adalah yang terbaik berada di pasaran kerana menggabungkan semua keperluan masa kini tanpa mengabaikan aspek prestasinya.


PAPAN induk Zenith Extreme Alpha (AMD X399) dan Rampage VI Extreme Omega (Intel X299).

Bagi pemilihan papan induk atau Motherboard, penulis mencadangkan keluaran terbaru ASUS Republic of Gamers (ROG) Zenith Extreme Alpha (AMD X399) bagi pemproses Threadripper atau bagi peminat pemproses Intel, boleh memilih Rampage VI Extreme Omega (Intel X299).

Kedua-dua papan induk ini perlu dipadankan sama ada pemproses keluaran Advanced Micro Devices (AMD) Threadripper atau Intel Core i9 memandangkan ia adalah papan induk kelas tinggi.

Papan induk ini mempunyai empat slot sistem storan PCIe M.2 yang mempunyai kadar bacaan data tinggi serta mampu untuk dipadankan dengan sistem kad grafik berkembar milik Nvidia iaitu SLI atau AMD iaitu CrossFireX.

Kedua-dua papan induk ini menyokong memori antara lapan sehingga 128GB DRR4 yang pastinya memberikan kelancaran maksimum.

Selain itu, padanan kad grafik pastinya menjadi pilihan iaitu ASUS ROG RTX 2080 Ti berkembat atau AMD Radeon 7.

Kad grafik berkenaan adalah generasi baru keluaran Nvidia serta AMD dan memberikan prestasi yang baik sama ada untuk bermain permainan ataupun melakukan tugasan sintesis animasi atau video.

Bagi semua kelengkapan itu, penulis hanya mencadangkan padanan berkenaan, namun pastinya ia menelan belanja besar untuk sebuah desktop tahap ‘bangsawan’ seperti itu.

SPESIFIKASI

Cadangan spesifikasi (Komponen penting untuk binaan AMD Threadripper)

• Pemproses: AMD Ryzen Threadripper 2950X

• Papan Induk: ASUS ROG X399 Zenith Extreme Alpha

• Kad Grafik: ASUS ROG RTX 2080Ti x 2

• RAM: Corsair 8x8GB Vengeance LPX DDR4 untuk Threadripper

• Storan: PCIe M.2 x 2 Samsung Evo 970 Evo 2TB

• Penyejuk CPU: Thermaltake Floe Triple Riing RGB 360

• Skrin paparan: ASUS ROG Swift PG27U

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 1:08 PM