Apple lancar Apple Arcade.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


SYARIKAT pengeluar peranti terkemuka, Apple Inc tidak ketinggalan dalam sukan elektronik mudah alih apabila memperkenalkan perkhidmatan langganan terbaharu, Apple Arcade.

Pada masa sama, Apple juga memperkenalkan perkhidmatan baharu, Apple News+.

Pengenalan kepada dua perkhidmatan itu diyakini untuk mengukuhkan jenama syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu.

Menerusi pelancaran Apple Arcade, ia menawarkan lebih 100 permainan baharu dan eksklusif kepada pengguna yang memiliki peranti keluaran Apple atau sistem operasi iOS dan macOS.

Pengguna juga akan menikmati permainan tanpa gangguan iklan atau keperluan membuat pembelian dalam aplikasi seperti sebelumnya.

Perkhidmatan Apple Arcade ini merangkumi permainan yang boleh dimainkan menerusi peranti mudah alih seperti iPhone dan iPad serta permainan desktop.

Apple memaklumkan mereka bukan saja menambah permainan ke Apple Arcade semata-mata, tetapi turut bekerjasama dengan pembangun dan membantu dari segi kos pembangunan untuk beberapa permainan.

Dengan membuat langganan Apple Arcade, pengguna hanya perlu membayar langganan bulanan dan mengakses kandungan permainan berbayar dengan mudah, termasuk menyokong untuk dimainkan secara luar talian.

Menariknya, memandangkan Apple Arcade menyokong pelbagai saiz peranti, ia sekali gus akan membolehkan pengguna bermain pada peranti mudah-alih, dan seterusnya sambung bermain di peranti lain seperti di komputer dengan mudah.

Apple Arcade akan dilancarkan kepada umum pada 2019 ini dan diperkenalkan untuk pengguna di lebih 150 negara secara serentak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 11:21 PM