PERMAINAN Anthem antara yang bermasalah sejak dilancarkan.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


PENERBIT permainan terkemuka, Electronic Arts (EA) mengumumkan pihaknya menyedari terdapat masalah dalam permainan BioWare Anthem untuk konsol Sony Playstation 4 (PS4).

Pada kenyataan media, pihaknya berusaha memperbaiki masalah berkenaan dan meminta pemain yang menghadapi masalah melaporkannya kepada mereka sebagai rujukan data.

“Kami dalam proses mengumpul maklumat berkaitan masalah di dalam permainan Anthem terutama membabitkan segmen PS4.

“Maklumat daripada pemain sangat penting untuk kita analisisi seterusnya menyelesaikan isu ini,” katanya.

Sehubungan dengan masalah dalam permainan itu, beberapa pemain mendakwa Sony turut menawarkan ganti rugi dengan pulangan semula wang untuk permainan berkenaan.

Sejak permainan Anthem dilancarkan, wujud beberapa kesulitan yang dihadapi oleh pemain seperti masalah sistem sambungan dan bagi pemain untuk segmen PC, mereka menghadapi masalah permainan terkeluar dan kembali kepada Windows.

Biarpun Anthem menghadapi beberapa masalah sejak ia dilancarkan, pembangun permainan itu, BioWare kekal komited untuk menyelesaikan setiap masalah dan menjadikan Anthem sebagai permainan berjaya tahun ini.

Berdasarkan beberapa web analisis kritikal permainan, kebanyakannya meletakkan penarafan bagi Anthem 6.5 daripada 10 mata kerana permainan itu mempunyai idea yang sangat baik namun bergelut untuk merealisasikan konsep berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 12:00 PM