AS mengenakan larangan terhadap teknologi keluaran Huawei.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


AMERIKA Syarikat (AS) memberi amaran kepada Jerman untuk menyekat teknologi Huawei di negara mereka dan jika langkah itu tidak dipenuhi, perkongsian maklumat antara dua negara terbabit akan dihadkan.

Ketegangan antara AS dan Huawei tercetus sejak beberapa bulan lalu selepas negara kuasa veto berkenaan berpendirian teknologi yang ditawarkan Huawei 'tidak selamat'.

Amaran kerajaan AS terhadap Jerman adalah langkah terbaharu untuk mengehadkan akses kepada syarikat gergasi Huawei dan ia dilihat tindakan untuk mempengaruhi negara sekutunya.

Berdasarkan laporan The Wall Street Journal, AS akan berhenti berkongsi beberapa maklumat rahsia sekiranya Huawei dibenarkan untuk membangun infrastruktur 5G di Jerman.

Memetik laporan CNN, perkara itu disampaikan menerusi satu surat daripada Duta AS di Jerman, Richard Grenell yang mengugut untuk mengehadkan perkongsian maklumat antara AS dengan kerajaan Jerman jika negara itu meneruskan hasrat menjalinkan kerjasama dengan Huawei.

Isu itu turut disahkan oleh jurucakap Jerman di Washington, Matthias Wehler yang menyatakan surat itu sudah diterima oleh Menteri Tenaga dan Hal Ehwal Ekonomi Jerman.

Matthias turut menyebut kerajaan Jerman akan membalas surat berkenaan secepat mungkin sama ada negara itu akan meneruskan hasratnya atau akur dengan kehendak AS.

Isu berhubung penggantungan teknologi keluaran Huawei itu bermula beberapa bulan lalu dan Jerman pada awal Mac mengumumkan tidak akan menyekat mana-mana syarikat untuk membida kontrak projek 5G di negara itu.

The Wall Street Journal pula melaporkan amaran berhubung penggunaan teknologi Huawei itu turut disuarakan oleh Timbalan Presiden Mike Pence yang mengaitkan syarikat gergasi berpangkalan di China itu mempunyai kaitan dengan perisikan China.

Peringatan itu juga menegaskan ia mampu memberi ancaman kepada tahap keselamatan dengan melakukan pengintipan menerusi jalan belakang.

CNN sebelum itu melaporkan walaupun perintah larangan itu sudah dikeluarkan, terdapat beberapa pengendali telekomunikasi di AS yang masih membeli perkakasan dari China memandangkan ia lebih murah daripada negara lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 12:44 PM