PRESTASI Ryzen 5 2400G
PEMPROSES AMD Ryzen 5 2400G
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

MEMILIH pemproses sesuai untuk binaan desktop bajet. Itu mungkin antara dilema yang sering dihadapi sebahagian ‘kaki gamers’ tambahan pula perlu memberi fokus bajet kepada pemproses dan kad grafik.

Bagaimanapun, pengeluar pemproses terkenal, Advanced Devices Micro (AMD) jarang mengecewakan jika menyentuh aspek pemproses bajet.

Untuk kaki gamers yang mungkin menghadapi dilema itu, penulis mencadangkan supaya meninjau pemproses daripada AMD generasi Ryzen 5 2400G yang hadir dengan Unit Pemproses Dipercepatkan (APU) atau bahasa mudahnya adalah pemproses dengan unit grafik terbina.

Mungkin bagi yang belum mengenali pemproses AMD, mereka akan lebih gemar memilih mitos kononnya pemproses keluarannya mudah panas berbanding pesaing mereka, ternyata itu hanya maklumat yang boleh disifatkan sebagai ‘pra-matang’.

Menerusi beberapa barisan pemproses generasi baru, AMD berjaya membawakan satu pemproses berkuasa, berprestasi tinggi dan ditawarkan dengan harga lebih rendah berbanding pesaingnya.

Pemproses generasi Ryzen 5 2400G boleh diperoleh dengan harga sekitar RM600 di pasaran dan untuk permulaan ia satu perkakasan yang baik untuk desktop bajet yang tidak mempunyai kewangan yang berlebihan untuk kad grafik.

Secara asasnya, Ryzen 5 2400G (Raven Ridge) mempunyai unit grafik terbina iaitu 11 Radeon Vega dan prestasi unit berkenaan mampu memproses sehingga 1.76 TFLOPS.

Berdasarkan kenyataan AMD ketika melancarkan pemproses dengan kod nama ‘Raven Ridge’ berkenaan, pemproses jenis itu mampu untuk menyokong beberapa judul permainan bertaraf AAA dengan resolusi 1080p pada pengubahsuaian grafik di tahap kualiti rendah (low graphic quality).


PRESTASI Ryzen 5 2400G

Ryzen 5 2400G adalah pilihan yang tepat kepada pengguna yang tidak mempunyai bajet berlebihan untuk kad grafik dan menggunakan grafik terbina buat sementara waktu.

Pemproses jenis ini mempunyai empat teras dan lapan Threads dengan bacaan 3.5Ghz selain unit grafik terbina dengan frekuensi 1250 MHz serta menggunakan Radeon RX Vega 11.

Penulis berpendapat pemproses Ryzen 5 2400G adalah pilihan yang sangat sesuai untuk bajet desktop memandangkan kemampuan teknikal yang begitu baik.

Jelas, AMD bijak dalam memadankan pemproses generasi Ryzen mereka dengan keupayaan grafik terbina sekali gus memberikan pengguna lebih banyak pilihan dan paling penting dengan harga yang sangat logik.

Walaupun pemproses ini hanya menggunakan grafik terbina, namun prestasinya boleh dibanggakan dan mampu untuk melaksanakan permainan dengan kualiti grafik rendah.

AMD juga masih mengekalkan soket untuk papan induk (motherboard) iaitu Ryzen 5 2400G masih menggunakan soket AM4 dan pengguna tidak perlu pening untuk menukar papan induk mereka.

Berdasarkan penjelasan AMD juga, soket jenis AM4 itu akan diteruskan sehingga tahun 2020 dan selepas itu AMD mungkin akan memperkenalkan pemproses dengan soket generasi baru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 12:23 PM