FOTO EA
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


PENERBIT permainan terkemuka, Electronic Arts (EA) mengumumkan bahawa pihaknya menyedari terdapat masalah dalam permainan BioWare Anthem untuk konsol Sony Playstation 4 (PS4).

Dalam satu kenyataannya, pihaknya sedang berusaha untuk memperbaiki masalah berkenaan dan meminta pemain yang menghadapi masalah untuk melaporkan kepada mereka sebagai rujukan data.

“Kita dalam proses mengumpul maklumat berkaitan masalah di dalam permainan Anthem terutamanya membabitkan segmen PS4.

“Maklumat daripada pemain sangat penting untuk kita analisa dan menyelesaikan isu berkenaan. Data daripada pemain bakal menjadi rujukan dan mengenal pasti masalah yang berlaku,” katanya.

Sehubungan dengan masalah di dalam permainan itu, beberapa pemain mendakwa Sony turut menawarkan ganti rugi dengan pulangan semula wang untuk permainan berkenaan.

Sejak permainan Anthem dilancarkan, wujud beberapa kesulitan yang dihadapi oleh pemain antaranya masalah sistem sambungan dan bagi pemain untuk segmen PC, mereka menghadapi permainan terkeluar dan kembali kepada Windows.

Biarpun Anthem menghadapi beberapa masalah sejak ia dilancarkan, pembangun permainan itu, BioWare kekal komited untuk menyelesaikan setiap masalah dan menjadikan Anthem sebagai permainan berjaya tahun ini.

Berdasarkan beberapa web analisis kritikal permainan, kebanyakan mereka meletakkan penarafan bagi Anthem 6.5 daripada 10 mata kerana permainan itu mempunyai idea yang sangat baik namun bergelut untuk merealisasikan konsep berkenaan.

From: SFI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 12:44 PM