SAMSUNG S10 dilancarkan di San Francisco, Amerika Syarikat.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

SEDEKAD lalu, perkembangan telefon pintar mungkin masih perlahan dan sekitar 2008, hanya beberapa jenama saja yang mula menggunakan sistem operasi Android.

Kemunculan Android umpama ‘New Dawn’ kepada era peranti berteknologi moden memandangkan ia platform terbuka yang memberikan lebih kebebasan kepada pengguna.

Sebelum itu, sistem operasi untuk telefon bimbit yang popular digunakan adalah Symbian namun sistem berkenaan kurang berkembang dan ia umpama sistem yang ketinggalan zaman apabila tidak mampu untuk bergerak seiringan dengan kemajuan teknologi.

Syarikat elektronik terkemuka, Samsung, antara pemain industri yang paling awal mengambil risiko menggunakan sistem operasi Android menerusi peranti Samsung Galaxy GT-I7500.

Peranti berkenaan yang dilancarkan pada Jun 2010 menyaksikan penerimaan menggalakkan sekali gus syarikat berkenaan menerbitkan peranti generasi baru daripada model asal berkenaan iaitu Samsung Galaxy Spica (GT-I5700).

Model berkenaan menjadi telefon perintis kepada siri Galaxy S dan kejayaan demi kejayaan diraih syarikat berkenaan menerusi model mercu mereka Samsung Galaxy S saban tahu n malah generasi S antara telefon pintar yang sering dinantikan oleh umum.


SAMSUNG tampil dengan idea baru apabila melancarkan Galaxy S7 dengan ciri dua lengkung.

Generasi Galaxy S pertama dilancarkan pada Jun 2010 dengan model yang dikenali sebagai i9000 Samsung Galaxy S disusuli model Samsung Galaxy SII setahun berikutnya.

Syarikat pengeluar telefon pintar terkemuka itu terus mengorak langkah mencipta sejarah dalam dunia telekomunikasi dengan menghasilkan pelbagai rekaan unik dan setiap tahun, Samsung mengeluarkan telefon mercu mereka daripada siri itu.

Menerusi kod ‘Projek Zero’, Samsung sekali lagi memberi kesan mendalam kepada industri telefon pintar pada 2016 apabila melancarkan Samsung Galaxy S6 dengan varian yang mempunyai skrin lengkung di bahagian tepi.

Penghasilan S6 Edge menjadikan Samsung sebagai genius penciptaan telefon pintar apabila mampu untuk menghasilkan skrin lengkung penuh.

Dua tahun sebelum itu, Samsung melancarkan Galaxy Note Edge yang turut menggunakan skrin lengkung namun di satu bahagian tepi saja berbanding S6 Edge yang mempunyai lengkung di kedua-dua sisi.

Untuk enam generasi Galaxy S, Samsung masih menggunakan butang ‘Home’ secara fizikal dan syarikat itu sekali lagi mempesonakan pesaingnya apabila menukar butang fizikal kepada butang terbina di dalam skrin.

Perkara itu direalisasikan menerusi kod ‘Projek Dream Cruiser’ yang memperkenalkan Galaxy S8 tanpa butang fizikal dan rekaan lebih elegan termasuk spesifikasi perkakas terkini.

Sebagai pereka telefon pintar genius, Samsung menerusi model S10 yang dilancarkan minggu lalu terus menampilkan kemajuan teknologi dan manifestasi sebenar produk premium apabila peranti berkenaan dilengkapi pelbagai teknologi terkini.

Generasi daripada siri Galaxy S ini antara telefon perdana yang sangat membanggakan kerana setiap keluaran terbarunya menampilkan ciri unik, teknologi terkini dan rekaan yang kemas.

Pastinya, evolusi Galaxy S tidak terhenti sehingga S10 dan syarikat berkenaan dijangka memperkemaskan rekaan serta binaan untuk kemunculan Samsung Galaxy bagi siri Note 10.


SAMSUNG Galaxy S pertama dikeluarkan pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 12:22 PM