KESAN grafik Apex Legends mengagumkan.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

SERAMAI 25 juta pemain dalam masa tujuh hari dan dua juta pemain berentap untuk satu-satu masa. Itu angka yang dicatatkan oleh permainan Apex Legends, sekali gus menjadi fenomena baru dalam dunia sukan elektronik.

Permainan itu yang dibangunkan oleh Respawn Entertainment dan diterbitkan syarikat gergasi permainan video, Electronic Arts (EA) boleh didapati secara percuma menerusi tiga platform utama iaitu desktop, Playstation 4 dan XBOX.

Sebelum ini, dua judul permainan yang menjadi peneraju kepada konsep permainan pertempuran ramai-ramai (Battle royale) iaitu PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) dan Fortnite.

Kini, dua judul permainan itu sudah mendapat saingan sebenar apabila Apex Legends mencatatkan jumlah pemain antara paling ramai dan permainan itu boleh dimuat turun secara percuma.


APEX Legends menggunakan latar masa permainan Titanfall 2.

Walaupun permainan itu ditawarkan secara percuma, namun pembangun, Respawn Entertainment tidak mengabaikan aspek kesan grafik dan konsep permainan yang nyawa memberikan kepuasan.

Secara rekod, Apex Legends mempunyai lebih 10 juta pemain yang mempunyai rekod tempoh bermain 72 jam dan ia adalah satu pencapaian yang amat mengagumkan.

Secara umumnya, Apex Legends menggunakan latar belakang dalam permainan Titanfall 2 dan hampir semua senjata dalam permainan itu mengekalkan siri Titanfall 2.

Permainan ini menampilkan lapan watak yang mempunyai kelebihan tersendiri dan pemain akan berkumpulan seramai dua yang lain sepanjang sesi.

Jika Fortnite dan PUBG lebih berorientasikan kemahiran individu sepanjang sesi permainan, namun Respawn Entertainment bijak untuk memberi kelainan apabila Apex Legends lebih berkonsep kepada strategi sepasukan.


KONSEP permainan yang memerlukan kerjasama antara pasukan untuk memenangi setiap pusingan.

Buat masa ini, Apex Legends hanya menawarkan satu peta namun pembangun permainan itu berjanji untuk mengembangkan lagi kandungan permainan berkenaan dalam masa terdekat.

Selain itu, Apex Legends juga berdepan isu penggodam memandangkan ia adalah permainan percuma dan awal minggu ini, pembangun permainan itu sudah menggantung

lebih 10,000 akaun yang didapati terbabit dalam kegiatan penggodaman.

Permainan ini mampu untuk menjadi fenomena sepanjang tahun ini jika pembangunnya mengembangkan lagi kandungan permainan berkenaan dan melaksanakan versi telefon pintar.

Penulis juga merasakan permainan ini boleh mengembangkan kepada mod pertempuran yang berbeza, sekali gus memberi kelainan kepada pemain.

Secara keseluruhan, Apex Legends adalah

suatu manifestasi permainan percuma yang sangat baik walaupun pada peringkat awal menghadapi beberapa masalah teknikal.


FENOMENA baru dunia sukan elektronik, Apex Legends.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 10:53 AM