TOM Clancy’s The Division 2 bakal dilancarkan pertengahan Mac ini.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

SIRI Tom Clancy’s The Division 2, bakal dilancarkan pertengahan Mac ini dan adalah sekuel kedua selepas kejayaan siri pertama iaitu The Division 1.

Bagi yang sudah membeli permainan ini untuk pratempahan, mereka menerima akses awal berkaitannya awal minggu ini dengan pelancaran ‘Private Beta’ untuk siri terbabit.

Penulis berpeluang melihat sendiri sekuel terbaru permainan itu dalam siri percubaan sebelum versi penuh dilancarkan.

Kebanyakan kandungan utama kerangka permainan berkenaan tidak dapat diakses memandangkan ia adalah versi percubaan namun mekanik asas bagi siri itu boleh dimainkan termasuk misi serta pertempuran dalam talian bersama pemain lain.

PEMAIN boleh memilih kelengkapan peperangan dan modifikasi tertentu.

Secara jujurnya, penulis tidak pernah bermain siri pertama Tom Clancy’s The Division 1 dan kurang mengetahui berkaitan konsep serta objektif permainan itu.

Bagaimanapun, 15 minit pertama penulis bermain siri itu, satu perkara yang amat mengagumkan adalah kesan grafik yang begitu halus dan lancar.

Penulis juga bertemu rakan dengan berbual berkaitan sekuel terbaru ini dan rata-rata yang pernah bermain siri pertama mengakui The Division 2 agak berbeza.

Menerusi siri terbaru permainan ini, penulis berasakan ia bukan satu permainan tembak- menembak biasa yang lazimnya akan dimenangi oleh pemain itu sendiri kerana watak yang

tidak dimainkan (non playable character - NPC) lebih pintar.

Pemain juga hanya dibekalkan dengan senjata tempur seperti raifal dan baju kalis peluru yang tidak akan dipulihkan sendiri jika masih berada mod pertempuran.

Jika pemain gagal untuk mengatur strategi sebelum aksi tembak-menembak berlaku, pastinya akan menjadi korban dan perlu untuk menghidupkan semula karakter pada titik terakhir data simpanan permainan itu.

MOD peperangan yang agak berbeza apabila pembangun memberikan cabaran dengan NPC lebih pintar.

Untuk itu, penulis menyarankan semua pemain supaya sentiasa menyemak kelengkapan senjata terutama raifal utama dan sentiasa menyesuaikan dengan taktik yang dirasakan sesuai.

Pada peringkat awal, strategi penulis hanya memberi fokus kepada raifal tempur yang memberikan nilai kerosakan yang tinggi namun ada raifal yang hanya memiliki mod tembakan secara ‘burst’ dan tidak sepenuhnya automatik.

Keadaan itu memberi gangguan kepada permainan penulis kerana perlu menekan tetikus berulang kali dan impak raifal jenis itu pula sering tersasar.

Pembangun permainan ini, Massive Entertainment, Ubisoft Reflections dan beberapa syarikat lain turut bijak meletakkan mekanikal permainan apabila pemain tidak boleh menembak musuh menggunakan kanta pembesaran optik yang lebih tepat.

Mekanik sasaran hanya menerusi konsep titik yang jauh lebih sukar terutama apabila menggunakan raifal tempur yang mempunyai hentakan kuat seperti Avtomat Kalashnikova atau AK.

Secara keseluruhannya, penulis berpuas hati dengan hasil The Division 2 dan boleh dikatakan sudah jatuh cinta dengan permainan itu walaupun kurang 120 minit meluangkan masa bermain dalam versi percubaan.

KESAN grafik permainan ini mengagumkan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 1:23 PM