APEX Legends sudah mempunyai 25 juta pemain dan dua juta pemain untuk satu-satu masa sesi permainan.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


KURANG tujuh hari dilancarkan namun sudah mempunyai 25 juta pemain dan dua juta pemain untuk satu-satu masa sesi permainan.

Itu fenomena baru permainan yang menonjolkan mod pertempuran beramai-ramai atau ‘Battle Royale’, Apex Legends yang dilancarkan pada Isnin lalu.

Permainan itu yang dibangunkan oleh Respawn Entertainment dan diterbitkan syarikat gergasi permainan video, Electronic Arts (EA) boleh didapati secara percuma menerusi tiga platform utama iaitu desktop, Playstation 4 dan XBOX.

Permainan itu menjadi fenomena terbaru dalam e-Sukan sekali gus boleh dikatakan menewaskan dua judul yang menampilkan konsep permainan hampir sama iaitu Fortnite dan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG).

Apex Legends mempunyai lebih 10 juta pemain yang mempunyai rekod tempoh bermain 72 jam dan ia adalah satu pencapaian yang amat mengagumkan.

Walaupun permainan itu boleh dimuat turun secara percuma, namun pembangunnya, Respawn Entertainment tidak mengabaikan aspek grafik dan mekanik permainan.

Secara umumnya, Apex Legends menggunakan latar belakang dalam permainan Titanfall 2 dan hampir semua senjata dalam permainan itu mengekalkan siri Titanfall.

Permainan ini menampilkan lapan watak yang mempunyai kelebihan tersendiri dan pemain akan berkumpulan seramai dua yang lain sepanjang sesi.

Jika Fortnite dan PUBG lebih berorientasikan kemahiran individu sepanjang sesi permainan, namun Respawn Entertainment bijak untuk memberi kelainan apabila Apex Legends lebih berkonsep kepada strategi sepasukan.

Konsep baharu itu memberikan permainan berkenaan kelebihan, malah turut memberi ruang kepada pemain baru yang tidak pernah mempunyai pengalaman dalam mod pertempuran beramai-ramai untuk turut sama merasai pengalaman.

Respawn Entertainment berjanji untuk memperkenalkan lebih banyak peta dan persenjataan di masa depan dan pembangun permainan itu sedang giat mengembangkan lagi Apex Legends.

Sudah pasti, Apex Legends kini adalah permainan fenomena di seluruh dunia dan setiap ‘kaki games’ sedang membincangkan permainan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 6:53 PM