HUAWEI Nova 4 menggunakan skrin paparan berlubang.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

TIGA kamera utama dan rekaan skrin paparan berlubang (punch-hole) menjadi tawaran terbaru oleh Huawei kepada pengguna di samping kapasiti bateri 3,750mAH pastinya mampu untuk bertahan seharian walaupun penggunaan 100 peratus.

Itu tawaran terbaru Huawei kepada pengguna menerusi model terbaru keluaran syarikat itu Huawei Nova 4 yang mempunyai reka bentuk lebih dinamik dan moden.

Walaupun baru tujuh bulan Huawei melancarkan Nova 3, syarikat itu mengambil langkah proaktif dengan menerbitkan model terbaru daripada siri Nova sekali gus merancakkan lagi pasaran telefon pintar untuk tahun ini.

Penulis merasai pengalaman memakai telefon pintar Nova 4 dan ia mempunyai pelbagai kelebihan yang mengagumkan selain rekaan yang lebih elegan.

Menyentuh daripada aspek fizikal telefon pintar ini, Huawei kali ini menggunakan pendekatan skrin paparan berlubang dengan binaan kaca di bahagian belakang secara melengkung.


REKAAN belakang Nova 4 menunjukkan tona warna gradien.

Penulis selesa memegang Nova 4 ini kerana binaannya yang melengkung di bahagian tepi di samping bingkai aluminium yang memastikan struktur kekal kukuh dalam apa jua keadaan.

Secara asasnya, Nova 4 didatangkan dengan dua warna iaitu hitam dan ‘crush blue’. Paling istimewa adalah warna ‘crush blue’ yang mempunyai dua tona warna daripada biru ke warna ungu.

Huawei juga bijak memilih material rekaan untuk Nova 4 dan tatkala memegangnya, anda akan merasai kualiti premium yang ditawarkan untuk telefon pintar jenis ini.

Bagaimanapun, jika dilihat daripada aspek prestasi pula terdapat sedikit yang mengecewakan apabila model terbaru Nova masih menggunakan pemproses Kirin 970 namun menawarkan memori lebih tinggi.

Nova 4 menawarkan memori 8GB khusus untuk memproses pelbagai tetingkap dan memastikan setiap aplikasi yang dipasang dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Penulis juga cuba untuk bermain beberapa judul termasuk PlayerUnknowns Battleground (PUBG) dan mendapati prestasi permainan itu begitu baik.

Pengguna juga tidak merasa panas yang keterlaluan di bahagian belakang telefon seperti model lain dan kekal selesa walaupun sudah bermain untuk tempoh masa yang panjang.

Huawei terkenal dengan inovasi kamera yang berani dan untuk Nova 4, kamera peranti ini boleh diberikan pujian kerana dilengkapi tiga lensa yang mempunyai kekuatan berbeza.

Lensa pertama dilengkapi dengan kamera 20 megapiksel (MP), lensa bukaan luas 16MP dan sensor khusus 2MP untuk menghasilkan kualiti gambar yang mengagumkan.


DUA lensa Nova 4 untuk penghasilan imej berkualiti.

Untuk kamera swafoto pula, Nova 4 dilengkapi 25MP kamera yang diletakkan di bahagian atas kiri dan sangat strategik untuk sudut swafoto yang cantik.

Ia juga dilengkapi dengan teknologi kamera Kecerdasan Buatan (AI) yang berfungsi untuk mencantikkan imej tanpa pengguna perlu melakukan proses penyuntingan sendiri.

Skrin paparan telefon pintar ini juga direka khusus dengan begitu teliti dan cantik. Nova 4 mempunyai 6.4 inci paparan berlubang yang tidak mengganggu pengguna.

Secara keseluruhan, Nova 4 adalah telefon pintar yang sangat baik walaupun Huawei masih menggunakan pemproses Kirin 970 yang sama dengan Nova 3.

Tambahan pula, harga yang ditawarkan adalah mampu milik di samping kualiti binaan premium sudah pasti ia bakal menjadi pilihan pengguna untuk tahun ini.

Huawei Nova 4

PEMPROSES: Kirin 970

RAM: 8GB

STORAN: 128GB

BATERI: 3,750mAH

HARGA: RM1,899

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 11:27 AM