SAMSUNG hasilkan storan cip UFS 2.1 berjumlah 1TB.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

SAMSUNG sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya menghasilkan storan cip UFS 2.1 berkapasiti 1TB sekali gus mungkin digunakan untuk pengeluaran telefon pintar mercu pada masa depan.

Storan jenis ini menawarkan sokongan pembacaan mencapai 1,000 megabait sesaat (Mbps) selain bacaan rawak pada kadar 58,000 Operasi Input Output Sesaat (IOPS).

Dengan penawaran terbaru daripada Samsung itu, ia sekali gus membolehkan pengguna merakam video dan gambar pada resolusi lebih tinggi dengan mudah.

Pengguna juga tidak perlu bimbang terhadap saiz storan mereka memandangkan jumlah 1TB boleh menampung kapasiti video dan gambar yang banyak.

Pengumuman terbaru itu turut mencipta khabar angin yang mengatakan telefon pintar mercu syarikat itu, S10 yang bakal dilancarkan 20 Februari ini berkemungkinan dilengkapi varian storan 1TB.

Ia sekali gus memberi kelebihan kepada peranti itu memandangkan kebanyakan pengguna gemar menyimpan gambar dan video dalam kapasiti yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 9:30 AM