REKA bentuk yang mungkin digunakan oleh Sony untuk versi PS5.
HM Digital

PEMINAT konsol keluaran Sony iaitu Playstation pastinya menantikan versi terkini konsol berkenaan, namun agak menghampakan aoabila Sony tidak akan mengeluarkannya dalam masa terdekat.

Sony dilaporkan sedang memperkemaskan konsol berkenaan dan mahu produk versi baharu itu mengagumkan peminatnya daripada aspek grafik, perisian, perkakasan dan reka bentuk.

Pengeluar barangan elektronik terkemuka itu juga mahu melewatkan tarikh pengeluaran bagi membolehkan lebih banyak judul permainan di pasaran yang menyokong paparan 4K.

Difahamkan, Playstation 5 (PS5) bakal menyokong penuh resolusi 4K dan memberi tandingan yang hebat kepada pencabar terdekat mereka iaitu Microsoft yang mengeluarkan konsol XBOX.

Sony dijangka mengumumkan pengeluaran konsol terbaru mereka yang bakal menggantikan PS4 pada 2020 dan tindakan itu juga dibuat kerana Sony mahu melihat prestasi XBOX terlebih dulu.

Setakat ini, Microsoft sedang giat membangunkan XBOX versi baru yang dikenali dengan kod nama ‘Scarlett’ yang dikatakan mempunyai kesan grafik maksimum.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 9:21 AM