KAWALAN pintar dengan skrin paparan terbina milik DJI.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

PENGELUAR terkemuka dron untuk kegunaan awam, DJI memperkenalkan produk baharu iaitu alat kawalan jarak jauh pintar dengan dilengkapi skrin terbina.

Pengeluaran peralatan itu mampu memaksimumkan kegunaan dron milik DJI selain membolehkan juruterbang atau pemandu menerbangkan dron tanpa menggunakan telefon pintar atau tablet.

Alat kawalan pintar ini meluaskan lagi ekosistem aksesori berasaskan teknologi dron DJI yang mempelopori industri.

Peralatan itu dilengkapi skrin terbina sebenar 5.5 inci sekali gus membolehkan juruterbang membawa dron dengan pantas tanpa perlu menghubungkan peranti mudah alih.

Ia juga boleh digandingkan dengan dron terbaru DJI termasuk Mavic 2 Zoom dan Mavic 2 Pro yang menggunakan sistem perhubungan video OcuSync 2.0.

Skrin paparan itu mampu memaparkan imej jelas dalam resolusi definisi penuh (HD) dan juruterbang dron boleh memanfaatkan kelebihan reka bentuk yang kecil dan mudah alih.

Paparan itu mampu beroperasi di bawah cahaya matahari berikutan kegunaan dron kebanyakannya dilakukan dalam keadaan persekitaran terbuka.

Skrin terang dengan bekalan output 1,000 cd/m2 disediakan dan dua kali ganda keterangan skrin paparan telefon pintar.

Satu lagi ciri baharu ialah DJI GO-Share yang memudahkan pemindahan imej daripada alat kawalan kepada peranti mudah alih milik pengguna.

Alat ini mampu memberikan kejituan penerbangan udara dengan hayat bateri 2.5 jam dan keupayaan beroperasi pada suhu dingin serendah -4 darjah Celsius.

Spesifikasi

• Harga: RM2,500 (anggaran)

• Skrin paparan: 5.5 inci

• Bateri: Mampu bertahan lebih 170 minit

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 12:26 PM