Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


UMPAMA cerita Hollywood apabila manusia dipakaikan dengan sut ‘exoskeleton’ sekali gus memberikan penjanaan kekuatan luar biasa hasil daripada binaan mekanikal berkenaan.

Ternyata, ia mungkin khayalan penerbit filem, namun konsep sama diguna pakai oleh pengkaji perubatan pada masa kini untuk mereka alat bantu pemulihan bagi pesakit lumpuh.

Kemajuan teknologi dan peranan kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai peralatan terutama bidang perubatan mampu memberikan nafas baru kepada pesakit.

Ia juga memberi faedah besar terutama kepada pesakit yang mengalami kecederaan tulang belakang yang mengakibatkan lumpuh dan bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.


DR Nur Azan menunjukkan pelekat denyut elektrik yang turut dilengkapi dalam sut exoskeleton untuk merangsang otot pesaki lumpuh. FOTO NSTP

Hasil kecanggihan teknologi terkini, sekumpulan pengkaji Universiti Malaya (UM) dibantu penyelidik luar membina struktur binaan alat bantu pemulihan untuk pesakit lumpuh.

Alat bantu ini adalah gabungan daripada teknologi mekanikal dan kemajuan perubatan sekali gus memberi harapan baru kepada pesakit berkenaan.

Kumpulan penyelidik terdiri daripada Pakar Perubatan Pemulihan, Fakulti Perubatan dan Timbalan Pengarah Klinikal (Perubatan) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Prof Madya Dr Nazirah Hasnan dan Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal, Fakulti Kejuruteraan dan Ketua Unit Latihan Penyelidikan, Pusat Peningkatan Akademik dan Pembangunan Kepimpinan (ADeC) Dr Nur Azan Hamzaid.

Dua penyelidik itu turut dibantu oleh dua pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) iaitu Dr Raja Ariffin Raja Ghazilla dan Norhafizan Ahmad.

Inisiatif itu muncul apabila kebanyakan pesakit saraf tunjang yang mengalami lumpuh bergantung kepada kerusi roda dan rawatan pemulihan mereka lazimnya berbentuk senaman.

Kewujudan sut exoskeleton itu dapat merangsang otot pesakit lumpuh sekali gus membantu mereka melakukan senaman seperti berjalan dan sebagainya.


SUT exoskeleton dipakaikan di bahagian pinggul pesakit lumpuh dan mempunyai rod boleh laras mengikut ketinggian pesakit.

Walaupun hasil gabungan mekanikal dan perubatan ini tidak mampu menggerakkan pesakit lumpuh seperti orang normal dan menggantikan penggunaan kerusi roda, ia adalah satu terapi pemulihan untuk mereka.

Dr Nazirah berkata, kebiasaannya pesakit lumpuh ini akan mengalami pengecutan otot kerana sudah tidak mampu lagi untuk bergerak.

“Mereka ini dinasihatkan melakukan senaman seperti berdiri untuk suatu tempoh supaya dapat merangsang otot.

“Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk pesakit lumpuh. Jadi, kita perlu fikirkan langkah terbaik untuk mereka seperti merangsang otot dengan bantuan kemajuan teknologi.


SUT ini turut dilengkapi rangsangan denyutan elektrik yang dikawal menerusi kotak kawalan tanpa wayar untuk merangsang otot pesakit lumpuh.

“Bagi tujuan itu, saya sendiri mendapatkan kerjasama supaya membina satu sut binaan mekanikal luar yang dikenali sebagai exoskeleton bagi membantu pesakit ini untuk bergerak," katanya ketika ditemui di Fakulti Kejuruteraan, baru-baru ini.

Beliau berkata, pesakit lumpuh ini tidak boleh dibiarkan terus baring dan duduk saja kerana ia akan mengakibatkan kesan lain seperti luka tekanan, masalah jantung, kecergasan, obesiti dan sebagainya.

Katanya, kumpulan penyelidik mengharapkan dengan inovasi baru ini, dapat memberikan satu nafas baharu kepada pesakit lumpuh.

“Sut binaan mekanikal ini hanya alat bantu dan pesakit lumpuh masih memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Alatan ini digunakan untuk mereka bergerak, bersenam dan merangsang otot.

“Saya bersama kumpulan penyelidik menjangkakan sut mekanikal ini akan siap sepenuhnya penghujung tahun depan dan kini di peringkat akhir penyelidikan dan ujian,” katanya.


PROTOTAIP sut exoskeleton. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 12:38 PM