KAD Grafik AORUS RX580 yang mampu menghasilkan kualiti gambar optimum untuk resolusi 1080p dan 1440p.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


SELEPAS ‘demam’ harga kad grafik yang tinggi pada pertengahan tahun lalu akibat manipulasi mata wang kripto, kini keadaan kembali seperti biasa dan kebanyakan harga perkakasan itu dijual pada tahap ‘mampu milik’.

Walaupun terdapat pelbagai jenama, model dan kemampuan kapasiti video memori (VRAM) untuk kad grafik di pasaran, namun pengguna harus bijak untuk mengenal pasti kad mana yang perlu dibeli.

Bagi kaki game yang hanya bermain untuk paparan sekitar 1080p, jawapannya ada pada kad grafik keluaran AMD iaitu RX580 yang mempunyai kapasiti 8GB VRAM.

Kad grafik jenis ini dikategorikan sebagai perkakasan tahap pertengahan dan RX580 mampu memberikan prestasi optimum untuk semua jenis permainan berstatus AAA yang ada di pasaran kini.

Penulis berjaya menguji kad grafik RX580 keluaran Gigabyte AORUS yang mempunyai spesifikasi bacaan bagi mod OC sekitar 1,439 MHz dan bagi mod permainan sekitar 1,425 MHz.

Kad keluaran AORUS bagi model RX580 XTR ini turut dilengkapi dengan dwikipas sebenar 100 milimeter untuk tujuan penyejukan.

Malah, kad ini ditambah dengan ciri estetika unik seperti lampu RGB yang boleh diubah suai merangkumi lebih 16 juta warna.

Ciri unik yang ada pada kad ini termasuk petunjuk ‘Fan Stop’ yang dibuat untuk memudahkan pemiliknya mengetahui sama ada kad grafik berkenaan sedang digunakan secara optimum atau rehat.

Secara asasnya, model RX580 menggunakan teknologi Polaris dan mampu bermain apa jua judul permainan terbaru.

Teorinya, RX580 dapat mencapai prestasi 60 bingkai sesaat dalam kebanyakan permainan pada 1080p dan menjadikannya pilihan baik untuk mendapatkan grafik yang berkualiti atau lebih baik.

Penulis berpendapat kaki game yang mahu bermain pelbagai judul dengan hanya resolusi 1080p, kad grafik RX580 adalah pilihan terbaik berbanding pesaingnya yang ada di pasaran.

Kad ini juga mampu menampung resolusi 1440p untuk kebanyakan judul permainan berstatus AAA dan bacaan bingkai sesaat adalah sekitar 40 hingga 50.

Penulis boleh mengkelaskan bahawa kad grafik RX580 keluaran AMD ini adalah yang terbaik untuk resolusi 1080p dan 1440p.

Bagi kedua-dua resolusi itu, kualiti grafik yang dihasilkan adalah tajam dan licin walaupun untuk 1440p, bacaan bingkai sesaat mencatatkan sedikit penurunan berbanding resolusi 1080p.

Kad grafik ini paling sesuai untuk segmen pertengahan kerana ia dijual tidak terlalu mahal berbanding dua lagi kad keluaran AMD iaitu Vega 56 dan Vega 64 untuk prestasi yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, kad ini mungkin bergelut untuk resolusi 2160p (paparan 4K) dan prestasinya akan terganggu.

Bagi kaki game yang hanya mahu bermain bagi resolusi 1080p dan 1440p serta kualiti grafik yang optimum, RX580 adalah jawapannya.

Namun, bagi mereka yang mahu bermain untuk resolusi 4K, penulis berasakan bahawa perlu untuk mendapatkan kad grafik lebih tinggi iaitu Vega 56 atau Vega 64 yang memberikan kualiti untuk prestasi tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 11:37 AM