BEZANYA, kerusi yang digunakan sebagai ‘kubu’ ini bersaiz penuh. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

Ibarat berada di dalam kubu sendiri dengan suasana dan pemandangan lebih terarah kepada permainan video hingga lupa seketika keadaan sekeliling.

Itu antara kelebihan yang terdapat pada kerusi keluaran terbaharu ACER Predator Thronos apabila maju setapak lagi dengan pengenalan kepada aksesori canggih yang mempunyai nilai tambah kepada peminat permainan video.

Melalui Predator Thronos, ia bukan sekadar kerusi permainan biasa, tetapi turut hadir dengan ruangan bagi menyokong sehingga tiga monitor, selain ruangan khusus untuk meletakkan PC anda.

Konsep kerusi gaming bukanlah sesuatu yang baru, malah terdapat pelbagai jenama yang boleh dipilih berdasarkan kemampuan anda. Tetapi, rekaan kebanyakan kerusi ini tidak begitu berbeza antara satu sama lain.

Malah, dari sudut lain pula kerusi berkenaan juga dilihat seperti kokpit lumba kereta maya yang cukup terkenal dalam kalangan peminat permainan komputer lumba sebelum ini.

Cuma bezanya, kerusi yang digunakan sebagai ‘kubu’ ini bersaiz penuh dan hadir dengan ciri yang sangat menarik seperti sokongan lengan untuk tempat meletak papan kekunci dan tetikus, dan juga lengan VESA yang membolehkan pengguna memasang tiga paparan skrin bersaiz 27 inci tanpa sebarang masalah apabila anda boleh memuatkan komputer, menyambungkan kabel dan wayar seperti HDMI, DisplayPort, USB dan sebagainya. Di bahagian tepi kerusi ini juga hadir terusan di mana kabel ini boleh dialirkan untuk mengelakkan masalah kabel berbelit.


KERUSI keluaran terbaharu ACER Predator Thronos maju setapak lagi ke hadapan dengan pengenalan aksesori canggih. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Selain itu, bahan yang digunakan sebagai kusyen cukup selesa, tetapi apa yang membuatkan kerusi ini benar-benar berbeza ialah kebolehannya untuk diubahsuai ke posisi yang sedikit bersandar seperti anda sedang berbaring dan bahagian paparan juga akan digerakkan untuk diselarikan dengan pandangan anda.

Namun, kelemahan yang saya dapat lihat pada kerusi ini ialah ia tidak hadir dengan pembesar suara terbina di dalamnya. Oleh itu, perlu menggunakan pembesar suara sendiri, ataupun sambungkan fon kepala kepada komputer untuk sambungan audio.

Sementara itu, Pengurus Kanan Produk Jualan dan Perkhidmatan Acer Sdn Bhd Jeffrey Loi memaklumkan kerusi berkenaan bernilai RM56,999 dengan satu tahun jaminan.

“Kami juga akan menguruskan penghantaran kerusi berkenaan ke seluruh Malaysia apabila ia mula ditempah pelanggan nanti,” katanya.


DARI sudut lain pula kerusi ini juga dilihat seperti kokpit lumba kereta maya. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Namun, kerusi berkenaan yang hampir sama dengan harga sebuah kereta hanya dijual satu saja kepada pelanggan yang bertuah.

“Kami mahu menjaga nilai eksklusif kerusi berkenaan menyebabkan hanya satu yang akan dijual di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 1:06 PM