ACER TravelMate X3310.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

Terikat dengan tugas harian padat dan memerlukan peranti mudah alih yang mampu bertahan lama adalah satu keperluan setiap individu.

Bagi mereka yang mempunyai jadual waktu panjang berada di luar pejabat, sudah pasti tahap prestasi peranti mudah alih seperti laptop memerlukan jangka hayat bateri yang panjang.

Selain itu, laptop berkenaan juga perlu kekal bertahan dan mampu melaksanakan pelbagai perisian untuk satu-satu masa tanpa gangguan.

Untuk tugasan tahan lasak berkenaan, pengeluar laptop ternama, Acer menerusi siri produk TravelMate X3310 mungkin jawapan yang sesuai.

Penulis berdepan dengan masalah apabila kebanyakan masa berada di luar pejabat dan memerlukan laptop mempunyai jangka hayat bateri yang panjang sesuai dengan tugasan harian.

Menerusi fakta teknikal keupayaan laptop ini menunjukkan ia satu produk yang sangat sesuai dengan penulis memandangkan ia satu peranti mempunyai jangka hayat bateri panjang tanpa mengabaikan prestasinya.

Dikuasakan dengan pemproses Intel Core i5 Generasi Kelapan dan mampu untuk menerima akses memori melebihi 32 GB memberi kelebihan kepada pengguna.

Jika tugas harian anda mirip dengan penulis, laptop Acer TravelMate X3310 ini mungkin jawapan kepada setiap permasalahan berkenaan.

Skrin paparan yang merangkumi 13.3 inci dengan definisi penuh (FHD) sangat sesuai untuk kebanyakan tugasan di luar pejabat termasuk pembentangan kertas kerja yang mungkin memakan masa yang lama.

Penggunaan laptop jenis ini akan mengurangkan kerisauan penulis untuk mencari punca kuasa apabila laptop kehabisan bateri selepas digunakan selama beberapa jam.

Selain itu, tambah menariknya apabila laptop ini turut dilengkapi dengan paparan khusus BlueLightShield dan ComfyView sekali gus mampu beroperasi dalam pelbagai keadaan termasuk menjaga mata pemiliknya.

Laptop ini juga mendapat pengiktirafan daripada pihak ketenteraan Amerika Syarikat apabila ujian ketahanan dilaksanakan.

Hasilnya, laptop ini mampu untuk menahan hentakan atau terjatuh pada ketinggian melebihi 122 sentimeter tanpa merosakkan sistem peranti ini.

ACER TRAVELMATE X3310

• PEMPROSES: Intel Core i5-8250U

• MEMORI: 8GB DDR4 (Menyokong sehingga 32GB)

• STORAN: 256GB SSD

• PAPARAN: 13.3 inci FHD, Panel paparan IPS

• BERAT: 1.6 kilogram

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 12:11 PM