YOURUBE medan memuatkan kandungan dan menyerlah
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Baru-baru ini, YouTube Malaysia mengumumkan senarai saluran dan pencipta YouTube yang popular sepanjang 2018.

Senarai terbabit mengetengahkan 10 saluran yang berusia kurang setahun tetapi berjaya menyaksikan peningkatan yang ketara dalam bilangan pengunjung mereka sepanjang tahun ini setakat November.

Dua ‘YouTuber’ tersenarai di kedudukan teratas berkongsi persamaan dalam penggunaan permainan video untuk mencipta video animasi pendek.

Pencipta lain yang turut perlu diberi perhatian termasuk Faris Eddy Viral TV menemui peminat sketsa YouTube, Easya Vaazhalam yang berkongsi tip kehidupan berguna untuk mempermudahkan tugasan seharian di rumah dan Chanel Kang yang popular dengan tarian TikTok.

Pencipta ini merangkumi spektrum topik hiburan yang lain menawarkan campuran daripada muzik hingga ke gosip, makanan dan motosikal.

Anda boleh lihat betapa kreatifnya rakyat Malaysia di Internet terutama di media sosial yang menyaksikan mereka menghasilkan video atau bahan digital lain sehingga ia menjadi tular.

Dari situ, ia menunjukkan kreativiti rakyat negara ini tidak terbatas dan lebih menarik tahap kreativiti terbabit boleh diterjemahkan kepada perniagaan. Pendek kata, buat duit!

Bermula tahun depan, ia seharusnya menjadi tahun menceburi industri kreatif terutama kepada pelajar yang sedang memilih kerjaya.

Ia perlu dimulakan sekarang memandangkan untuk mencapai kejayaan di dalam industri ini sememangnya boleh, tetapi mengambil masa untuk seluruh ekosistem supaya matang dan berupaya membantu satu sama lain.

Apatah lagi, kerajaan menerusi pelbagai inisiatif melaburkan lebih RM800 juta dalam industri kreatif sejak 2010 sebagai pemangkin untuk melonjakkan industri kreatif multimedia negara.

Jika berkecimpung dalam industri ini di Malaysia, anda sangat beruntung mempunyai akses pelbagai jenis bantuan daripada dana, pinjaman mudah, latihan dan pelbagai jenis bantuan lain.

Banyak hasil dapat dilihat menerusi pelbagai jenis filem, animasi dan permainan dibangunkan untuk dipersembahkan kepada pengguna di dalam negara, tetapi dilihat masih ada ruang boleh ditambah baik dan jurang itu amatlah besar.


RAMAI bakat baru memeriahkan kandungan kreatif di Malaysia berasaskan teknologi.

Cuma di Malaysia saja kita agak kekurangan produk yang bagus jadi apa anda perlu lakukan ialah iltizam bagi merealisasikan produk bertaraf dunia.

Selain itu, platform dianjurkan pelbagai pihak menjadi tunjang malahan pemula kepada mereka yang mahu berjinak-jinak dalam industri ataupun yang sudah lama bertapak.

Penulis boleh jangkakan kerjasama antara syarikat tempatan dan antarabangsa mampu bekerjasama dalam pembangunan industri malah individu terutama untuk produksi bersama.

Industri di Malaysia memerlukan pendedahan dengan standard antarabangsa untuk menghasilkan produk yang bagus.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan kita mampu menjadi pengeluar kandungan terunggul di Asia Tenggara yang membawa pelabur dan pemerhati ke negara ini.

Ia membuka mata mereka betapa Malaysia mempunyai bakat.

Meskipun tenaga kerja mungkin masih terhad, ia bukan hanya berlaku di Malaysia. Pelbagai pihak perlu melakukan apa saja untuk mengasah dan mencari bakat dengan pelbagai program serta mula menjejaknya di peringkat rendah iaitu sekolah.

Sudah pasti, kita teruja dengan percambahan idea yang dimiliki rakyat negara ini tidak pernah kering sehingga mampu membangunkan harta intelek (IP) sendiri di rantau ini dengan kukuh.

Namun, banyak lagi perlu dilakukan dalam menyalurkan bakat yang bagus kepada syarikat layak dalam menghasilkan kualiti lebih baik.

Industri kandungan kreatif sehingga 2016 berupaya menghasilkan pendapatan sehingga RM7.6 bilion untuk tempoh tiga tahun.

Malah, impak industri yang hebat mampu menghasilkan 10,913 peluang pekerjaan dalam sektor seperti animasi, permainan, VFX & media baru dan platform khas.

Ia juga penting buat negara apabila kandungan kreatif menyalurkan RM9.55 bilon kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).

Sehingga tahun lalu, Malaysia mengeksport sehingga RM6.8 bilion kandungan kreatif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 5:30 AM