Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Dijual dengan harga bermula RM3,499, ia bukanlah peranti yang murah tetapi memiliki senarai spesifikasi yang agak hebat yang pastinya mampu bersaing dengan Razer Phone 2 dalam pertandingan ‘telefon game Android terbaik.’ Bercerita mengenai reka bentuknya, lihat saja di bahagian depan dan belakang peranti ini sudah cukup menunjukkan ia bukanlah telefon pintar game yang biasa.

Rekaan depannya licin dengan gaya sederhana tetapi tersendiri dalam bentuk dua gril tembaga untuk pembesar suara speaker dan mikrofon. Manakala di bahagian belakang pula terlalu banyak untuk diperkatakan. Terdapat tulisan menggunakan huruf besar berwarna kelabu yang ditulis perkataan REPUBLIC OF GAMERS.

Ia nampak sangat berkilat sehingga bakal membuatkan anda berfikir dua kali ia mungkin masih dibalut dengan plastik. Keseluruhan reka bentuknya jelas kelihatan futuristik dan berteknologi tinggi, tetapi bagi saya ia agak nampak seperti prop filem yang baru keluar dari filem Micheal Bay. Mujur bahagian dalamannya memang berteknologi tinggi. Skrin yang digunakan pada ROG Phone ini adalah AMOLED 6.0 inci dan menawarkan kadar ‘refresh rate’ yang agak tinggi sehingga 90Hz.

Terdapat dwikamera di belakang dengan resolusi 12MP dan 8MP, kedua-duanya menawarkan jarak fokus yang agak luas. Kamera di hadapan pula hadir dengan kamera beresolusi 8MP dan turut mempunyai teknologi pengimbas wajah yang berfungsi dengan pantas. Baterinya pula berkapasiti 4000mAh dan menampilkan memori 8GB. Peranti itu turut dilengkapi dengan port di sisi yang boleh digunakan untuk mengecas peranti ketika bermain ketika ia dipegang secara mendatar atau untuk menyambung beberapa perkakas tambahan seperti kipas penyejuk menggunakan USB-C.


Perkakasan tambahan itu termasuk dok khas yang membenarkan anda menyambung kepada monitor, tetikus, papan kekunci dan alat kawalan. Di samping itu ia juga mempunyai pilihan AirTriggers - yang bertindak seperti butang pada alat kawalan permainan untuk memberi butang tambahan dan lebih kawalan dalam permainan.

Harga ROG Phone bermula dari RM3,499 untuk storan sebesar 128GB dan RM3,999 untuk 512GB. Kedua-dua versi termasuk 100GB storan Google Drive. Walaupun berat dan bersaiz besar, ROG Phone sebenarnya sangat mudah untuk dipegang. Peranti ini dimuatkan dengan sistem operasi Android 8.1 Oreo.

Terdapat juga ciri yang direka untuk membuatkan telefon pintar itu mempunyai lebih keupayaan seperti ZenMotion Gestures yang membenarkan anda melukis pada skrin selepas paparannya dimatikan seperti huruf ‘C’ untuk melancarkan aplikasi kamera dengan pantas.


Untuk paparan pula, AMOLED boleh menjadi sukar untuk dilihat dalam sinar matahari secara langsung dan kecerahan 625 nits ROG Phone ini tidak mampu berbuat apa-apa pun.

Tetapi bagusnya, ia hadir dengan ‘Outdoor Mode’ yang tidak mengganggu kualiti bunyi. Gaming merupakan satu-satunya sebab telefon pintar ini diwujudkan dan ia sememangnya melebihi daripada jangkaan. Ia mempunyai pelbagai kemudahan seperti AirTriggers dan X Mode. Apabila mod ini diaktifkan ia akan mengelak sebarang gangguan seperti notifikasi ketika bermain.

Ia juga boleh menutup aplikasi latar untuk memberi ruang kepada memori serta mengoptimumkan prestasi permainan. Dengan jangka hayat baterinya, peranti ini mempunyai kuasa yang cukup untuk bertahan dalam jangka masa lama. Selepas sejam permainan paras bateri hanya berkurang 26 peratus.



ASUS ROG PHONE

• HARGA: RM3,499

• PENGELUAR: ASUS

• CIRI: Fon game Android

• PRO: Bateri berkapasiti tinggi

• KONTRA: Cepat panas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 1:19 PM