SSD My Passport SSD. FOTO E-mel
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


PERANTI SSD mudah alih mendapat perhatian kerana kepantasan dan kebolehpercayaannya, malah pada harga lebih rendah, produk ini semakin mampu dimiliki.

SSD ialah pemacu simpanan luaran yang berguna apabila anda perlu membawa fail dan data penting dalam perjalanan untuk urusan perniagaan atau bercuti.

Pada masa sama, ia lebih penting lagi bagi jurugambar yang sentiasa berada di luar untuk tugasan merakamkan gambar dan video menarik untuk menyimpan dan menyandarkan kandungan berharga.

Kami senaraikan SSD mudah alih terkini Western Digital yang diperlukan pengguna.

Anda peminat reka bentuk yang kemas dan anggun?

Penyelesaiannya melalui WD My Passport SSD hanya sebesar tapak tangan yang memaparkan kelajuan pantas dan reka bentuk menarik.

Produk ini menawarkan penyelesaian simpanan terbaik untuk menguruskan koleksi foto dan video yang besar, membuat sandaran fail dan simpanan dokumen penting dengan pantas, mengendalikan mesin maya atau meluaskan simpanan laptop anda di mana-mana saja menerusi telefon atau tablet anda.

Disokong oleh jaminan terhad tiga tahun, My Passport SSD boleh didapati pada harga RM2,099 untuk 1TB, RM1,039 (512GB) dan RM579 (256GB).

Selain itu, terdapat My Passport Wireless SSD menemani jurugambar atau peminat dron terutama jika anda tidak membawa laptop bersama dalam perjalanan anda.

My Passport Wireless SSD ialah pemacu mudah alih semua dalam satu yang membantu anda menyimpan semua gambar dan video yang dirakamkan oleh kamera atau dron.

Kemudahan salinan kad satu sentuhan membolehkan kandungan disunting dan dikongsikan dari luar, selain keupayaan baru untuk mengakses peranti menerusi aplikasi kreatif mudah alih pihak ketiga.

My Passport Wireless SSD disokong jaminan tiga tahun dan boleh didapati pada harga RM1,099 (250GB), RM1,499 (500GB), RM2,299 (1TB) dan RM3,699 (2TB).

Jika anda jurugambar atau perakam video atau sukan lasak terutama individu yang menghabiskan masa di kawasan pedalaman perlu membawa pemacu mudah alih yang kukuh.

SanDisk Extreme Portable SSD melakukan pemindahan kelajuan tinggi menjadikannya gajet sempurna untuk menyimpan dan menyunting gambar serta video resolusi tinggi.

Penarafan IP55 me­ngesahkan kemampuannya menghadapi ancaman daripada hujan, limpahan, tumpahan dan habuk.

SanDisk Extreme Portable SSD disediakan dengan jaminan tiga tahun dan boleh didapati pada harga RM529 (250GB), RM829 (500GB), RM1,699 (1TB) dan RM3,299 (2TB).

Satu lagi model direka untuk jurugambar dan juruvideo profesional yang memerlukan perkakasan terkini, G-DRIVE mobile Pro SSD menawarkan teknologi Thunderbolt 3 dengan reka bentuk tahan, kalis hentakan membolehkan anda menyunting rakaman 8K berbilang saluran pada kadar kerangka penuh dan memindahkan sehingga satu terabait kandungan dalam masa tidak melebihi tujuh minit di mana saja anda berada.

G-DRIVE mobile SSD berharga RM779 untuk 500GB, RM1,499 (1TB) dan RM3,029 (2TB) dengan jaminan lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 6:15 AM