Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Platform pengedaran aplikasi Android rasmi milik Huawei, AppGallery, baru-baru ini membuat kemunculan pada KL Level Up 2018 sekali gus terus mengukuhkan kehadiran jenama itu dalam pasaran di Malaysia terutama dengan jumlah penggunanya yang semakin meningkat.

Dengan bertemakan ‘Bukan Sekadar Hiburan’, acara tahunan anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bertujuan mengembangkan industri permainan video memandangkan Malaysia terus menjadi antara satu pasaran terbesar dan berkembang pesat di Asia Tenggara.

AppGallery yang dilancarkan secara global awal April lalu menyediakan aplikasi yang teratur dan pelbagai untuk memenuhi keseronokan pengguna - yang meliputi gaya hidup, percutian, hiburan, perniagaan dan banyak lagi kategori lain.

Dengan lebih 200 bilion pindah turun di seluruh dunia, AppGallery turut menawarkan baucar, kupon diskaun dan keistimewaan VIP secara eksklusif untuk pengguna Huawei dan honor.

Permainan video adalah antara kategori pilihan utama dalam AppGallery. Setiap bulan, aplikasi itu akan memaparkan permainan baru dan menyeronokkan.

Untuk bulan lalu, permainan yang boleh didapati adalah Battle for the Galaxy, Stone Arena, Warship Fury, Riot of Tribes dan Food Truck Chef.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 1:28 PM