SAMSUNG Galaxy Tab S4.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Dalam menyesuaikan pekerjaan anda, keperluan untuk mendapatkan gajet terbaik bagi urusan kerja terutama yang mudah alih amat penting.

Dengan Samsung Galaxy Tab S4, anda tidak perlu lagi membawa laptop yang berat ke sana sini, malah boleh disambung tanpa sebarang wayar ke projektor terpilih dengan hanya beberapa sentuhan untuk menyampaikan pembentangan.

Bagi S Pen pula, sungguh mudah untuk menulis di atas skrinnya, semudah menulis di atas buku nota fizikal, baik dalam bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia dan boleh pula memilih pelbagai jenis fon kaligrafi yang menarik.

Selain itu, tablet ini juga sesuai digunakan untuk menonton filem dan drama, apatah lagi saiznya besar yang disokong pula pembesar suara yang mampu menghasilkan audio menakjubkan.

Versi yang penguji peroleh adalah 10.5” WQXGA (2560x1600) AMOLED, pastinya lebih besar untuk pandangan mata.

Pengguna boleh menulis nota ataupun melakar lukisan dan kemudan menyimpannya dalam format pilihan seperti dokumen pejabat mahupun gambar.

Ia menampilkan unibodi plastik dengan kemasan warna aluminium hitam menjadikannya kelihatan premium.

Spesifikasinya cukup baik untuk keperluan kerja harian dan hiburan dan pada masa yang sama beroperasi bersama storan dalaman 64GB, tetapi anda boleh menambah dengan kad memori microSD.

Selain WiFi, anda turut berupaya memasukkan kad SIM 4G LTE dan menggunakan data.

Galaxy Tab S4 mempunyai kamera belakang 13MP dengan fokus auto manakala kamera depannya pula 8MP.

Kamera depannya agak terang sesuai ketika anda sedang melakukan mesyuarat secara online atau berhubung dengan keluarga ketika jauh di perantauan.

Kapasiti bateri Galaxy Tab S4 adalah 7300mAh, jadi tidak perlu risau untuk menggunakannya seharian pada penggunaan aktif.

Harga yang ditawarkan ialah RM3,099 iaitu hampir sama seperti pembelian laptop tetapi ia pasti berbaloi, ditambah audio quadstereo AKG.

SAMSUNG GALAXY TAB S4

• PENGELUAR: Samsung

• CIRI: Tablet 10.5 inci

• PRO: Bateri tahan lama, skrin cantik

• KONTRA: Harga agak tinggi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 1:45 PM