MODEL menunjukkan telefon pintar jenama Realme yang akan berada di pasaran Malaysia. Foto ROSELA ISMAIL
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my


REALME, jenama telefon pintar yang sedang berkembang di pasaran global memperkenalkan rangkaian peranti terbarunya, Realme 2, Realme 2 Pro dan Realme C1 di pasaran Malaysia khusus untuk golongan muda.

Pengurus Jenama Realme Malaysia Tiffany Teh berkata, gabungan teknologi dan prestasi peranti pada harga mampu milik menyakinkan pihaknya mampu menarik minat generasi muda di negara ini untuk memiliki telefon pintar Realme.

Katanya, telefon pintar Realme 2 berharga bermula daripada RM599, Realme 2 Pro (RM849) serta Realme C1 (RM449) dan akan ditawarkan secara dalam talian di platform Lazada dan Shopee.

“Telefon pintar Realme C1 akan ditawarkan pada harga promosi iaitu RM399 di platform beli-belah dalam talian Lazada bermula 22 November ini.

“Selari dengan slogan 'Proud to be Young', kami begitu yakin penjualan di Malaysia akan mendapat sambutan menggalakkan sama seperti di Indonesia dan India pada bulan lalu.

“Realme menyaksikan rekod jualan yang hebat di India iaitu sebanyak 200,000 unit Realme 2 dijual dalam tempoh lima minit selepas dilancarkan secara rasmi, manakala di Indonesia, 15,000 unit Realme 2 hanya dalam 10 minit,” katanya pada majlis pelancaran telefon pintar Realme di Kuala Lumpur, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 5:51 PM