GAJET iPad Pro terbaru. Foto AFP
KETUA Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook ketika memperkenalkan MacBook Air baru pada pelancaran di Akademi Muzik Brooklyn, New York, semalam. Foto AFP
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


APPLE memperkenalkan iPad Pro, MacBook Air dan Mac mini baru yang akan berada di pasaran Malaysia pada 7 November ini dengan pra tempahan dibuka bermula sekarang.

Harga ditawarkan bagi iPad Pro (WiFi) 11 inci berharga RM3,499 manakala iPad Pro (WiFi+selular) 11 inci pula RM4,149.

Manakala iPad Pro (WiFi) versi 12.9 inci berharga RM4,349 dengan versi WiFi+selular pula RM4,999.

MacBook Air pula menyaksikan harga jualan bermula dari RM5,249 manakala Apple Pencil generasi kedua berharga RM549, sementara Mac mini berharga RM3,449.

iPad Pro baru tidak lagi mempunyai butang Home (semuanya skrin penuh) dan ia didatangkan dalam dua saiz iaitu 11 inci dan 12.9 inci manakala paparannya berformat Liquid Retina Display.

Terdapat fungsi Face ID yang dipadankan dengan sistem keselamatan paling selamat berbanding semua komputer di dunia.

Berdasarkan pemprosesan A12X Bionic 7nm cip dan 10 bilion transistor, iPad Pro baru mengoperasi 35 peratus CPU lebih pantas berbanding model lama serta 92 peratus lebih laju berbanding mana-mana komputer di dunia yang dijual sejak setahun lalu.

GPU juga beroperasi 100 peratus lebih baik berbanding model lama dan ia turut datang dengan keupayaan sambungan USB-C dan storan maksimum hingga 1TB.

Sementara itu, MacBook Air kini datang bersama Retina Display dengan saiz 13.3 inci, 2550 x 1660 dan ruang pad sentuh lebih luas.

Terdapat butang Touch ID di sebelah kanan yang mempunyai pelbagai fungsi.

MacBook Air mempunyai CPU Intel Dual Core i5 gen8 16GB dan SSD 1.5TB manakala RAM minimum 8GB.

Ia mempunyai jangka hayat bateri selama 13 jam dengan rekaan 100 peratus aluminium yang dikitar semula sekali gus mengurangkan 50 peratus karbon.

Manakala, Mac mini pula mesin yang lebih laju dengan operasi lebih lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 10:13 AM