TINJAUAN orang ramai menggunakan perkhidmatan bas percuma GoKl city Bus di sekitar Kuala Lumpur. FOTO/ ZULFADHLI ZULKIFLI.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

PENGANGKUTAN awam menjadi sistem utama yang menggerakkan manusia dalam kehidupan seharian.

Sedar atau tidak, penduduk dunia semakin meningkat dari hari ke hari, sehingga saat ini jumlahnya mencecah 7,598,504,800 orang yang menghirup udara segar di bumi ini dan Malaysia kini mempunyai 31,624,264 penduduk.

Bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru Pulau Pinang atau Ipoh memerlukan prasarana pengangkutan awam yang bersepadu di kalangan masyarakat untuk berhubung dan menuju ke satu lokasi ke lokasi lain.

Internet untuk segalanya (IoT) menyumbang kepada pembangunan bandar, seterusnya menjadikan bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu terus berhubungan berdasarkan Internet termasuk memajukan pengangkutan awam.

Sekali gus, sistem pengangkutan yang sistematik dan tersusun, mudah akses seterusnya memberikan keselesaan kepada penduduk untuk bergerak.

Pembangunan transit aliran ringan (LRT), MRT dan Monorel membantu mempercepatkan proses pergerakan menunjukkan bandar pintar apabila ia dimanfaatkan sepenuhnya kepada penduduk di negara ini.

Sistem pengangkutan awam terbabit diselang-selikan dengan aplikasi perkongsian kenderaan seperti Grab.

Misalnya, dari titik A ke titik B, pengguna boleh memanfaatkan kedua jenis pengangkutan ini tanpa perlu membawa kenderaan masing-masing ke tempat kerja.

Kemudian, anda tidak lagi perlu membawa wang ringgit dalam jumlah yang banyak kerana pembayaran semuanya dilakukan secara ‘online’.

Sama ada menggunakan kad debit, kredit berasaskan Paywave atau e-dompet, sistem pembayaran terbabit menjadi salah satu keperluan dalam pengangkutan pintar.


KAPTEN bas elektrik wanita pertama di malaysia, Tuty Sofia Ahmad Tajudin memeriksa skrin elektronik sebelum memulakan perjalanan membawa bas elektrik di BRT Depoh. Bandar Sunway. FOTO/ ZULFADHLI ZULKIFLI.

Namun, kita memahami pengangkutan awam sama ada bas, kereta api atau teksi boleh mengecewakan penumpang walaupun ia lebih murah dan mesra alam berbanding perjalanan dengan kenderaan persendirian.

Perlu diakui pengangkutan awam mungkin tidak selesa atau sepantas kenderaan persendirian apabila penumpang perlu merancang jadual mereka berdasarkan jadual sesuatu pengangkutan awam dan keadaan yang tidak terduga boleh berlaku, mengganggu operasi transit awam.

Bagaimanapun, kekurangan pengangkutan awam mula dihapuskan dan ia menjadi lebih selesa.

Sistem pengangkutan awam yang pintar menawarkan banyak manfaat kepada penumpang seperti teknologi mengesan kenderaan masa sebenar yang memaklumkan pemberitahuan sekiranya berlaku peristiwa yang tidak dijangka dan berita perjalanan kepada penumpang secara lebih peribadi.

Contohnya, kesepaduan antara bas dan teksi boleh memaklumkan perjalanan dengan lebih tepat berdasarkan waktu dan tambang.

Syaratnya, sistem pengangkutan ini dipasang IoT yang memantau pergerakan dan maklumat pengangkutan awam dengan lebih tepat.

Penjejakan kenderaan masa sebenar yang lebih efisien boleh dipasang dengan sistem IoT.

Meskipun pada waktu sekarang, anda boleh melihat jangkaan masa pengangkutan awam tiba misalnya bas atau LRT, ia masih anggaran dan bukannya masa sebenar.

Itu yang menyebabkan apabila berlakunya gangguan, penumpang akan terkapai-kapai tidak mengetahui maklumat terkini dan hanya bergantung kepada media social yang mungkin hanya memaparkan spekulasi semata-mata.


APLIKASI "Bas Kita" yang dicipta pensyarah dan pelajar UKM di UKM, Bangi.

Mungkin boleh penulis katakan, aduan terbesar pengangkutan awam yang diutarakan penumpang adalah ketidakupayaan untuk mendapatkan maklumat masa sebenar mengenai di mana kenderaan itu atau masa ketibaan di perhentian tertentu.

Nasib baik, IoT membolehkan pengguna mengesan lokasi kenderaan awam masing-masing apabila ia dipasang dengan sistem GPS yang disambungkan ke Internet.

Data GPS dihantar semula ke pusat arahan pusat dan selepas data GPS diterima, maklumat terbabit kemudiannya dapat disampaikan kepada peranti mudah alih yang didayakan internet penumpang atau tanda elektronik di perhentian.

Penumpang kemudian boleh mengetahui masa yang tepat masa ketibaan atau tempoh perjalanan.

Penulis mengetahui Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum ini berjaya membangunkan aplikasi BasKita bagi memudahkan pengguna mengetahui lokasi bas dalam kampus secara masa nyata.

Aplikasi BasKita dibangunkan oleh penyelidik Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) dan diketuai oleh Prof Haslina Arshad.

Tujuan aplikasi BasKita adalah untuk menggalakkan peningkatan pengguna bas UKM dalam kalangan pelajar, pensyarah, kakitangan dan pelawat.

Keadaan yang tidak diingini kadang-kadang boleh mengganggu pengangkutan awam seperti kerosakan, penutupan jalan raya atau cuaca buruk.

Sebab itu, IoT membolehkan pengendali pengangkutan awam memaklumkan kepada penumpang dan membantu mereka mencari alternatif.

Sekiranya keadaan yang tidak dijangka berlaku, agensi transit akan dapat memberitahu penumpang terlebih dahulu dengan menghantar notifikasi ke telefon bimbit mereka dan bukannya meninggalkan penumpang dalam keadaan tertunggu-tunggu.

Teknologi IoT juga memudahkan agensi transit membangunkan pelan kontingensi sekiranya berlaku keadaan yang tidak dijangka.

Contohnya, sekiranya berlaku gangguan perkhidmatan tren, agensi transit boleh mengambil maklumat daripada pengimbas tiket yang disambungkan ke Internet untuk menentukan jumlah penumpang dalam tren.

Agensi berkaitan kemudiannya boleh menentukan jumlah bas yang akan digunakan untuk mengurangkan kesulitan yang dialami oleh penumpang.

Selain itu, IoT dalam pengangkutan awam lebih memperibadikan penumpang yang akan lebih merasakan diri dihargai dengan kebajikan mereka terjaga.

IoT membolehkan agensi transit mudah menghantar maklumat perjalanan peribadi kepada penumpang. Sebagai contoh, agensi transit dapat menjejak tabiat perjalanan individu tertentu dan menentukan stesen atau laluan yang sering digunakan individu terbabit.

Sekiranya berlaku penutupan stesen yang dijadualkan atau laluan tertentu terhalang, agensi transit akan dapat memaklumkan kepada individu terbabit dengan pantas.

IoT dijangka meningkatkan pengalaman penumpang untuk pengangkutan awam dengan menawarkan pengesanan kenderaan masa sebenar, respon yang lebih baik sekiranya berlaku peristiwa tak terduga dan maklumat perjalanan peribadi.

Apabila bandar semakin padat dan masyarakat mula mencari cara untuk menuju destinasi dengan lebih mudah atau menjimatkan, pengangkutan awam akan menjadi pilihan utama bagi individu yang ingin melepaskan diri menggunakan kenderaan peribadi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 4:01 AM