IMRI
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Telekom Malaysia Berhad (TM) baru-baru ini memperkenalkan pelan unifi 100Mbps yang baru pada harga RM129 sebulan merangkumi jalur lebar berkelajuan 100Mbps tanpa had penggunaan, akses kepada pakej unifi PlayTV dan 600 minit panggilan suara secara percuma.

Naib Presiden Eksekutif unifi, Imri Mokhtar, berkata, TM terus berinovasi dengan mendengar maklum balas pelanggan, memahami kemahuan pelanggan kediaman yang inginkan sambungan jalur lebar pantas tanpa had, pelbagai program hiburan dan berhubung dengan keluarga serta rakan.

“Pada 12 Julai 2018 yang lalu, kami mengumumkan pelan penaiktarafan kelajuan untuk pelanggan unifi kediaman sedia ada kepada kelajuan jalur lebar yang lebih tinggi (kini dalam fasa percubaan), supaya mereka dapat menikmati pengalaman lebih hebat menerusi kepantasan jalur lebar yang lebih tinggi.

“Sekarang, sebagai permulaan, kami menawarkan pengalaman ini kepada pelanggan baru unifi kediaman dengan menawarkan pelan unifi 100Mbps ini,” katanya.

Beliau berkata, maklum balas pelanggan menunjukkan semakin banyak kediaman di Malaysia yang memilih untuk melanggan jalur lebar berkelajuan tinggi untuk merealisasikan gaya hidup digital mereka.

“Keadaan ini didorong oleh bertambahnya penggunaan perkhidmatan penstriman dan permainan digital (e-sports) yang kini sebahagian daripada gaya hidup pelanggan kediaman hari ini,” tambah beliau.

Jelas Imri, sebagai penggerak utama dalam merealisasikan potensi digital Malaysia sebagai sebuah negara yang terhubung sepenuhnya, TM bersungguh-sungguh untuk membolehkan setiap kediaman di Malaysia mampu untuk menikmati faedah yang dibawakan oleh teknologi digital.

Menerusi pelan unifi 100Mbps dengan hanya RM129 sebulan, TM meletakkan tanda aras baharu untuk kelajuan jalur lebar dan kemampuan melanggan 60 peratus lebih murah daripada pelan 100Mbps terdahulu.

“Kami percaya tidak lama lagi 100Mbps akan menjadi tahap kelajuan jalur lebar permulaan pilihan isi rumah di Malaysia apabila semakin banyak aplikasi digital dan kandungan memerlukan lebar jalur (bandwidth) yang lebih tinggi, lebih pantas dan lebih diyakini.

“Oleh itu, kami mengambil langkah awal memenuhi keperluan pelanggan kami dengan pelan 100Mbps yang baharu ini, serta pelan yang menawarkan kelajuan lebih tinggi akan diperkenalkan kepada anda tidak lama lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 7:59 AM