Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Mencuba Samsung Galaxy Note9 membangkitkan keterujaan memandangkan siri Note itu mempunyai sejarahnya tersendiri.

Meskipun tidak dapat mencuba versi slot dalaman 512GB di samping slot kad microSD menjangkau 1TB dengan model Galaxy Note9, ia masih cukup dengan versi 6GB+128GB.

Note 9 dijual pada harga RM4,699 (8GB+512GB) dan RM3,699 (6GB+256GB).

Pujian pertama diberikan berdasarkan bateri 4000mAh yang cukup selesa digunakan seharian bagi tempoh lama dan aktif pula dengan pelbagai aktiviti seperti media sosial serta bermain game Fortnite.

Tidaklah panas bateri apabila bermain permainan bagi tempoh lama jadi penguji tidaklah begitu risau.

Tapi, paling ditunggu, S Pen yang terus menjadi nadi dengan fungsi ditambah Bluetooth untuk beberapa kegunaan seperti berupaya menjadi pengawal atau butang shutter kepada kamera jika ia diletakkan sejauh 10 meter sekali pun.

Itulah yang digunakan penguji, letakkan fon anda pada tripod dan gunakan S Pen sebagai alat kawalan untuk merakam wefie jadi tak perlu menekan butang 'Timer' atau berlari ke kumpulan untuk gambar bersama.

Untuk mengecas S Pen pula, hanya cukup dengan masukkan kembali ke slot dalam telefon selama 30 saat.

Dengan sokongan Bluetooth Low-Energy (BLE), S Pen baharu itu berkeupayaan untuk menyampaikan cara baru dalam mengendalikan Note9.

Bagi kamera pula dengan dua lensa pada kamera, satu sudut lebar dan satu lagi telefoto pada resolusi 12MP+12MP. Kamera depan pula 5MP pada f1.7.

Rakaman foto dan video seperti biasa memang hebat dan cukup untuk kegunaan sebagai kamera harian ditambah pula gabungan bersama S Pen untuk tambahan Doodle pada mana-mana foto yang dirakam.

Selain itu, ia juga diperhebatkan dengan kamera pintar yang mampu mengesan sehingga 20 elemen dalam sesebuah gambar dirakam dan memberikan hasil fotografi yang dinamik dan warna jelas.

Bagi seorang profesional pula, inilah peranti yang patut ada kerana Samsung Galaxy Note 9 juga tidak lagi memerlukan DEX untuk sambungan ke TV atau monitor apabila ia dihubung terus dengan kabel USB-C.

Anda boleh paparkan pembentangan anda dalam mesyuarat dengan mudah. Bayangkan jika ada mana-mana idea sebelum mesyuarat bermula hanya tambah saja nota pada telefon anda.

Phablet Note 9 menggunakan audio jenis AKG Harmon dan dikatakan sangat sesuai bermain game.

Samsung Galaxy Note 9 mempunyai paparan 6.4 inci Super AMOLED Infinity yang memberikan pengguna dengan pengalaman multimedia yang luar biasa selain pembesar suara stereo AKG Harmon menyesuaikan bunyi keliling pintar.

Hasilnya, bermain game pada phablet ini menjadikannya seakan bermain dalam bilik penuh aksi ataupun sudah pasti dengan trend menonton strim video 'online' sekarang, ia membantu memperdengarkan audio dengan lebih jelas.

Jangan lupa untuk sambungan lain mengenai reviu Note9 ini.

SAMSUNG GALAXY NOTE9

• PENGELUAR: Samsung

• CIRI: Telefon flagship

• PRO: Kamera terbaik

• KONTRA: -

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 1:36 PM