JASON Chen (kanan) dan kakitangan pemasaran antarabangsa Acer, Erik Ackerson menunjukan Swift 5 kepada media antarabangsa.

ACER Inc terus melancarkan produk dalam segmen permainan video beserta aksesori dan rangkaian komputer riba bagi memperkukuhkan kedudukannya di pasaran global terutama di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia.

Acara next@Acer, hari ini diadakan sebelum acara kemuncak antara ekspo pameran produk teknologi terbesar dunia, Internationale Funkausstellung Berlin (IFA) bermula lusa.

Menerusi next@Acer, syarikat berpangkalan di Taiwan itu melangkah ke hadapan dengan memperkenalkan lebih 10 rangkaian produk terbaruya dalam kedua-dua segmen berkenaan.

Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jason Chen berkata, Malaysia memain peranan penting bagi perniagaannya di Asia Pasifik memandangkan kedua-dua segmen berkenaan, Acer berjaya menjadi peneraju pasaran.

Beliau berkata, segmen komputer riba dan permainan video bukan sekadar tertumpu kepada sasaran pengguna tertentu sahaja tetapi berjaya diperluas kepada segmen lain seperti peranti realiti maya gabungan (MR) kini digunakan untuk pengguna enterpris.

“Acer tidak hanya memfokuskan kepada inovasi reka bentuk sahaja tetapi turut memberi tumpuan secara keseluruhan seperti perisian, rumusan dan memaksimumkan kegunaannya yang mesra pengguna.

“Mengenai segmen permainan video, Predator terus menjadi perhatian kami memandangkan kemampuannya menyumbang kepada perolehan syarikat dengan baik sejak kebelakangan ini dan terus mendapat permintaan daripada peminatnya yang semakin berkembang di seluruh dunia,” katanya di Berlin, hari ini.


PERANTI permainan video dua dalam satu, Triton 900.

Menerusi acara itu, antara tumpuan media antarabangsa yang hadir adalah komputer riba dalam keluarga Swift, Swift 5 yang hanya seberat 990 gram, sekaligus dianggap teringan di dunia.

Sementara dalam segmen Predator, Acer terus mengembangkan inovasinya dengan memperkenalkan peranti dua dalam satu, Triton 900 yang boleh menjadi tablet dan komputer riba untuk permainan video.

Tidak ketinggalan, inovasi Mix Reality yang sebelum ini sinonim dengan penggunaan untuk permainan video kini diperluaskan untuk penggunaan enterpris yang turut menjadikan peranti berkenaan sebagai salah satu fungsi dalam pekerjaan.

Kesemua produk yang dipamerkan hanya akan berada di pasaran tempatan mengikut kajian permintaan pasaran Acer di Malaysia, namun ia dijangka mula memasuki pasaran pada dua suku pertama 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 9:14 PM