Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Raya semakin hampir. Aktiviti utama ketika beraya nanti pastinya bergambar.

Bagi pengguna yang rata-rata mempunyai peranti kelas pertengahan kini mempunyai saiz kamera serendah 12MP. Meskipun begitu, terdapat segelintir daripada pengguna peranti pintar kurang mahir menggunakan kamera ini.

Untuk menghasilkan gambar yang berkualiti menggunakan kamera telefon, terdapat beberapa teknik ringkas yang perlu anda ketahui.

1. Gunakan fokus manual

Walaupun cara ini sedikit remeh, ia akan memberi kesan yang terbaik kepada foto anda. Sekiranya anda menggunakan fokus manual, anda boleh menentukan objek yang hendak difokuskan agar hasilnya lebih baik.

2. Pegang menggunakan kedua-dua tangan

Kebanyakan antara kita gemar merakam gambar hanya dengan bantuan sebelah tangan. Tanpa anda sedar, penggunaan hanya satu tangan ini boleh menyebabkan gambar anda bergoyang dan tidak jelas. Jadikan, gunakan kedua-dua belah tangan supaya ia lebih stabil dan dapat merakam gambar dengan lebih cantik serta jelas.

3. Pencahayaan

Faktor ini turut menyumbang kepada hasil akhir foto anda. Sebelum merakam gambar, pastikan anda mempunyai pencahayaan yang mencukupi agar gambar tidak gelap. Malah, elakkan subjek daripada membelakangkan cahaya matahari kerana situasi backlight ini akan membuatkan foto akan kelihatan malap dan suram.

4. Jangan zum ketika mengambil gambar

Perkara ini sering terjadi ketika objek yang ingin difokuskan berada pada jarak yang agak jauh. Tetapi, kaedah zum adalah cara yang kurang tepat kerana ia akan membuatkan gambar anda pecah. Sebaliknya, dekatkan diri anda dengan objek untuk menghasilkan gambar yang jelas tanpa pecah.

5. Selalu bersihkan lensa kamera

Kadangkala kita terlepas pandang akan kebersihan lensa yang juga menyumbang kepada kualiti sesebuah foto. Lensa yang berdebu mahupun berhabuk boleh menyebabkan gambar anda kelihatan kurang jelas, jadi pastikan anda memeriksa dan membersihkan lensa kamera anda sebelum mengambil gambar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 1:14 PM