HUAWEI Nova 2 lite.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Tahun lalu, Huawei menampilkan model Nova 2i yang mengejutkan dunia dan Malaysia. Hebatnya sambutan memang tak dapat dibayangkan sekali gus membuka pasaran kepada telefon peringkat pertengahan yang mampu ditawarkan pada harga murah.

Jika Huawei Nova 2i pun sudah berbaloi memilikinya, apatah lagi model kedua daripada keluarga Nova iaitu Nova 2 lite.

Huawei Nova 2 lite mengambil tempat memiliki paparan penuh berdefinisi tinggi (HD) 5.99 inci jenis FullView dan sistem dwikamera. Anda takkan percaya harganya. RM1,299? RM1,099? atau RM999?

Satu pun tak tepat, jangan terkejut dengan spesifikasi yang ada ia dijual pada harga RM799 saja.

Pada penguji, keupayaan Huawei Nova 2 lite hampir menyamai Huawei P10 namun perbezaan harga yang ketara memang sebab utama anda patut dapatkan telefon ini.

Harga ‘bagai tak tercapai dek akal’ itu terbukti apabila ia mencatatkan jualan lebih 7,000 unit hanya selepas empat hari di pasaran.

Sudah pastilah, sambutan hebat ini disebabkan pelbagai keistimewaan dimiliki.

Berdasarkan harga RM799 saja, ia menepati kehendak spesifikasi fon yang rakyat Malaysia mahukan. Bayangkan dengan harga itu, anda boleh strim video pada nisbah skrin 18:9 hasil skrin 5.99 inci pada telefon bersaiz 5.5 inci saja.

Takut ‘lag’? Jangan risau sebab sistem dalaman Huawei cukup melancarkan operasi telefon bersama RAM 3GB dengan ROM 32GB.

Rekaannya juga cantik di mata pengguna sama seperti dutanya, Hannah Delisha. Lengkung belakang Nova 2 lite dengan rekaan 2.5D di belakang dengan panel kelihatan premium menyerlah nilai estetik yang menawan.

Huawei Nova 2 lite juga mempunyai set dwikamera belakang dan satu kamera depan dimiliki. Ya! Dengan harga RM799 siapa sangka anda boleh dapat tiga kamera. Sebelum ini, kuasa itu ada pada P10 namun pada harga murah, Nova 2 lite pun dah cukup

Sudahlah begitu, ia lengkap bersama keupayaan membuka fon menggunakan pengesan wajah yang pantas. Laju saja fon di’unlock’kan sebaik skrin menatap muka kita.

Ciri dwikamera menjadi sentuhan padu Nova 2 lite. Dua kamera belakang itu beresolusi 13 megapiksel dan 2 megapiksel yang memang hebat untuk kesan bokeh selain fokus laju PDAF.

Pendek kata, sukar terlepas saat yang baik ketika subjek melintas di depan anda.

Selain itu, terdapat mod ‘Wide Apertur’ yang apabila diaktifkan, lensa 13 megapiksel akan menangkap terperinci pada subjek manakala lensa 2 megapiksel pula akan memberikan kesan bokeh dengan tujuh jenis tahap apertur.

Malah lebih hebat, anda boleh menetapkan kembali poin pada fokus meskipun selepas gambar diambil.

Kamera depan juga mengikut kehebatan kamera utamanya apabila ia yang mempunyai resolusi 8 megapiksel boleh mempunyai flash ikut tona swafoto secara manual atau automatik dengan apertur f2.0 bersama sudut swafoto sehingga 77 darjah menghasilkan pelbagai gambar yang menarik.

Tanpa sistem operasi yang hebat seperti EMUI 8.0 (Android 8.0), anda mungkin tak memperoleh kelancaran menggunakan telefon ini.

EMUI 8.0 memang mantap dan ia mengelakkan lag apabila integrasi antara perisian dan peranti sesuai berganding.

Satu lagi yang mencuri tumpuan termasuk sokongan VoLTE dan VoWiFi. Nampak sangat teknikal tapi jangan risau kerana anda tak perlu sentuh apa-apa kerana ia secara automatik memastikan isyarat telefon kekal pada tahap maksimum sama ada dalam bangunan atau di luar.

Tiada lagi fon lain yang mempunyai keupayaan VoLTE dan VoWiFi yang mampu ditawarkan pada harga murah seperti Nova 2 lite.

Sebab itu, kalau anda gunakan Nova 2 lite, anda boleh menerima atau membuat panggilan tanpa tersekat malah ia juga panggilan jenis HD.

Prestasi memori dengan padanan CPU terhasil oleh algoritma pembelajaran mesin. Hasilnya, pasanglah pelbagai aplikasi termasuk game, media sosial dan menonton video strim.

Bagi yang risau dengan kehebatan semua ciri sehingga takut bateri habis, hilangkanlah kegusaran tersebut kerana bateri berkapasiti 3000mAh cukup memainkan video sehingga 13 jam tanpa henti dan baterinya pula tahan lasak sehingga dua tahun penggunaan.

Terdapat ciri teknologi Power Saving 6.0 di mana ia mempunyai lapan penyelesaian pintar untuk mengurangkan penggunaan tenaga pada telefon ini.

Nova 2 Lite mempunyai tiga kad slot, semua boleh guna. Dua slot kad nano untuk data atau panggilan kemudian satu lagi boleh memuatkan kad microSD hingga 256GB.

Menariknya, semua slot kad ini boleh dipakai serentak.

Ciri Split Screen pula yang sama diteruskan dalam Nova 2 Lite. Dua aplikasi beroperasi serentak.

Pada mod Mini Screen View. Gunakan telefon anda dengan satu tangan dan aktifkannya hanya dengan slide jari ke navigasi untuk tukar antara view biasa dan Mini Screen View.

Manakala bagi Mod Eye Comfort, tiga tahap kecerahan skrin ikut keadaan.

Penguji beritahu satu rahsia yang best tentang Huawei Nova 2 lite ini. Leretkan tiga jari untuk ‘screenshot’.

HUAWEI NOVA 2 LITE

• PENGELUAR: Huawei

• CIRI: Telefon kelas pertengahan

• PRO: Harga murah

• KONTRA: Aksesori

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 1:41 PM