Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Sejak beberapa bulan ini, telefon pintar mengalami perubahan ketara dalam beberapa aspek, namun satu yang mencuri tumpuan semua pengeluar ialah ciri ‘FullView’ atau skrin penuh.

Dengan nisbah paparan 18:9, ia sudah pasti menyaksikan tiada satu butang pun berada di skrin depan telefon bagi memastikan pengguna memiliki paparan penuh.

Bagaimanapun, persoalan yang timbul, mengapa semua pengeluar tergilakan ciri ini?

Skala 18:9 ataupun bahasa teknologi lebih tepat, nisbah aspek (aspect ratio) membolehkan mampatan piksel yang ada dalam skrin memaparkan imej kepada pengguna fon ketika membaca atau menonton.

Jangan keliru dengan saiz skrin telefon kerana ia dua perkara yang berbeza. Anda mungkin memiliki saiz skrin kecil namun nisbah aspeknya tinggi.


PAPARAN besar untuk lebih banyak kandungan.

Dalam kaitannya dengan artikel ini, nisbah aspek setinggi 18:9 yang menjadi pilihan pengguna dan pengeluar.

Ia hasil ukuran dua sisi (melintang x menegak) yang diagonalnya sama dengan empat segi pada dua sisi telefon.

Jadi, paparan 5.7 inci misalnya akan menjadi 4.9 inci tinggi dan 2.7 inci lebar dipegang secara melintang atau mod landskap.

Nisbah aspek berkait rapat dengan video apabila mod landskap diguna pakai yang mana nisbah dua sisi sama antara satu sama lain tidak termasuk dinding gelas atau besi pada tepi telefon itu sendiri.

Jadi, apabila telefon mempunyai nisbah aspek 16:9 seperti kebanyakan telefon sebelum ini, nisbah bagi dua sisi terbabit ialah 16:9.

Kenapa kita perlukan paparan berskala FullView ini?

Nisbah aspek 18:9 menawarkan juga skrin lebih tinggi pada ‘bezel’ yang nipis pada kiri atau kanan dan atas atau bawah.

Ia bermakna, anda akan memperoleh skrin 6 inci besar pada dimensi keseluruhan yang ada pada telefon bersaiz 5.5 inci melebihi nisbah aspek yang biasa iaitu 16:9.

Jadi, saiz skrin 5.5 inci namun disebabkan paparannya penuh anda seakan-akan memiliki skrin 6 inci.


SKRIN penuh trend telefon pintar.

Telefon bersaiz kurang 5.5 inci mampu menghasilkan paparan jenis 18:9 ini.

Secara fizikal, anda mempunyai paparan skrin yang besar meskipun saiz fon anda mungkin kecil.

Nisbah aspek 18:9 memberi manfaat pada pengguna terutama apabila fungsi pelbagai tugas (multitasking) dalam fon mula menampakkanya fungsinya.

Kebanyakan fon sekarang membolehkan anda membahagikan skrin pada dua bahagian. Misalnya, satu untuk menonton video manakala satu lagi ketika menjawap mesej jadi fungsi 18:9 menawarkan paparan yang lebih besar.

Ia sekali gus membolehkan ruang yang banyak untuk melihat kandungan video atau mesej secara efektif.

Kebanyakan sistem operasi sekarang menawarkan fungsi dua aplikasi beroperasi serentak ini yang dipanggil ‘split screen’.

Secara asasnya, kebanyakan aplikasi dan laman web memerlukan anda untuk skrol dari atas ke bawah.


ANTARA pengeluar skrin besar.

Namun jika anda mempunyai skrin yang lebih panjang berasaskan 18:9 ini, jumlah skrol terbabit mampu dikurangkan.

Ia bermakna, anda boleh melihat lebih banyak kandungan pada satu bingkai tanpa kerja skrol yang menganggu.

Kurang skrol bermakna anda boleh fokus pada kandungan lebih lama misalnya membaca artikel panjang atau buku digital.

Satu lagi yang mencuri tumpuan, paparan jenis 18:9 bermakna ia membawa visi masa depan terutama apabila digabungkan dengan pemain media lain.

Contohnya, apabila anda memasang set realiti maya (VR), anda perlu mempunyai skrin yang besar pada saiz yang kompak.

Apabila menggunakan set VR, anda boleh membahagikan skrin untuk dua jenis paparan berbeza.

Sebaik ia terpampang di set VR, kandungan di kiri dan kanan sama rata jika menggunakan paparan jenis 18:9.

Kenapa nisbah aspek 18:9 yang dipilih? Jika sebabnya kerana mahukan skrin besar dan bezel yang nipis, mengapa tidak format 19:9 atau 21:9 seperti TV yang mempunyai nisbah aspek ultra lebar?


SESUAI untuk VR.

Dalam pengamatan penulis, ia disebabkan format 18:9 menghampiri nisbah aspek universal untuk pelbagai jenis video.

Berdasarkan Univisium iaitu format filem yang dibangunkan pengarah seni, Vittorio Storaro dan anaknya, Fabrizio, semua hasil seni perlu disesuaikan dengan keadaan platform dan bukan terhad kepada skrin besar dalam panggung wayang.

Jadi, satu format standard perlu dipilih membolehkan kandungan dipasang pada mana-mana platform seperti wayang, TV dan laman web.

Ia cabaran kepada pengeluar kandungan sama ada berbentuk video atau game memandangkan format baru ini memerlukan sedikit ubah suai yang mungkin memakan masa dan jumlah suntingan besar.


SKRIN tanpa butang di depan.

Oleh itu, anda mungkin menyaksikan aplikasi lama tidak boleh dipenuhkan pada skrin sehingga menghasilkan imej hitam kiri dan kanan kerana ia tidak dipasang pada format 18:9.

Perubahan juga mengikut jenama tertentu misalnya Samsung yang mengubahsuainya pada format 18.5:9 atau Apple yang mempunyai 19:5.9 pada skrin 5.8 incinya.

Terdapat 10 fon berformat 18:9 yang menjadi pilihan termasuk:

1. Samsung Galaxy Note 8

2. Samsung Galaxy S8/S8+

3. LG V30

4. Google Pixel 2 XL

5. Vivo V7

6. Oneplus 5T

7. Huawei Mate 10

8. Huawei Mate 10 Pro

9. Huawei Nova 2i

10. Honor View10

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 12:03 PM