Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Baru-baru ini, Huawei memperkenalkan telefon pintar Nova 2i dan aktres Hannah Delisha dilantik duta produk.

Cantiknya Hannah, cantik juga model telefon baru ini yang mempunyai empat kamera untuk kepuasan fotografi.

Datang dengan tiga warna iaitu hitam, emas dan biru, Nova 2i kini dijual di pusat jualan Huawei seluruh negara pada harga RM1,299 bermula esok.

Paling menarik, dwikamera di depan dilengkapi flash mampu memberikan kesan bokeh yang sebelum ini hanya dimiliki kamera utama telefon pintar biasa.

Kamera belakangnya mempunyai resolusi 16 dan 2 megapiksel dengan saiz piksel 1.75um menghasilkan foto yang jelas.

Kamera Nova 2i untuk depan dan belakang berupaya merakam imej yang jelas tidak kira pada mana-mana persekitaran selain kualiti imejnya seakan-akan menggunakan kamera DSLR.

Penguji bercakap mengenai keupayaan kesan bokeh yang ada tidak kira pada gambar standard atau swafoto.

Format jenis 1.75um 2MP sememangnya membantu mengkaji kedalaman suasana yang menghidupkan imej bokeh terbabit manakala mod apertur luas membolehkan anda mengawal tahap kabur dalam foto.

Tambah menarik, anda boleh tetapkan fokus imej meskipun gambar sudah dirakam jadi fotonya boleh menonjol lebih cantik.

Bagi kamera depan, terdapat fungsi flash ambien pintar yang menghasilkan swafoto lebih cerah meskipun ketika itu anda berada dalam suasana gelap bersama rakan. Maklumlah, aktiviti bersama biasanya tidak kira di mana saja.

Kecerahannya bergantung kepada modul flash berskala 1 lux hingga 9 lux selain mengesan jarak telefon dan tubuh badan untuk penghasilan imej lebih tepat dan cantik kemudian menyesuaikan intensiti kecerahan.

Ia mempunyai saiz skrin 5.93 inci jenis IPS HD penuh bersama pemprosesan Huawei Kirin 659 octa core yang menggabungkan 2.36GHz octa core dan 1.7GHz octa core.

Tempoh penggunaan telefon ini juga boleh tahan. Penggunaan biasa penguji membolehkannya bertahan sehingga dua hari.

HUAWEI NOVA 2i

• HARGA: RM1,299

• PENGELUAR: Huawei

• CIRI: Telefon pintar dwikamera depan belakang

• PRO: Kesan bokeh cantik

• KONTRA: Perlu aksesori pihak ketiga

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 11:13 AM