SKRIN besar.
KEUNIKAN rekaan Note8.
ADA dwikamera.
S-Pen sebagai nadi.
BOLEH dua aplikasi serentak.
KREATIF dengan peranti baru Samsung.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


Besar dan unik. Antara perkataan yang digambarkan penulis ketika membelek model terbaru Samsung Galaxy Note8 yang pertama kali menggunakan teknologi dwikamera masing-masing beresolusi 12 megapiksel bagi siri model Note.

Menariknya, ia diperkenalkan dengan penstabil imej optikal (OIS) dan keupayaan merakam foto bokeh yang mudah dioperasikan.

Fungsi kamera baru ini juga membenarkan rakaman video dan foto serentak bagi kamera depan serta belakang.

Dwikamera terbabit menggabungkan lensa telefoto dan sudut lebar manakala kamera depan pula mempunyai resolusi 8 megapiksel.

Selain itu, anda masih berupaya menggunakan S Pen dan menulis atau melukis di skrin meskipun peranti dalam keadaan basah.

Sama dengan model Galaxy S8, paparannya mengekalkan fungsi Infinity Display yang skrinnya penuh pada telefon bersama Always-On Display (AOD) dengan perlindungan hebat menjadikannya kalis air dan debu dengan ciri IP68.

AOD memungkinkan anda boleh melihat masa, bateri dan kalendar tanpa perlu mengaktifkan telefon itu sendiri.

Sedikit perbezaan apabila Samsung datang dengan bateri sehingga 3300mAh menjadikannya lebih tahan lama.

Mungkin ada kaitannya, Presiden Perniagaan Komunikasi Mudah Alihnya DJ Koh berkata, tiada siapa yang dapat melupakan krisis Galaxy Note7 namun kesetiaan komuniti Note membanggakan.

“Biarpun dikecewakan, anda tetap bersama kami jadi Note8 adalah hasil kepercayaan anda,” katanya ketika majlis pelancaran Samsung Galaxy Note8.

IT@Metro berpeluang menghadiri majlis pelancaran terbabit menyaksikan penambahbaikan Note8 berbanding Note7 agak ketara.

Samsung pertama kali memperkenalkan siri Note pada 2011.

Note8 kali ini bersaiz 6.3 inci QuadHD+ Super AMOLED, Note8 hadir dengan RAM 6GB LPDDR4 dan storan 64GB, 128GB atau 256GB.

Sistem pengecas pantas juga dikekalkan dalam Note8 manakala rekaan butang ‘home’ diubah sedikit ke atas bagi memudahkan pengguna memegang telefon ini.

Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd dijangka menjual Samsung Galaxy Note8 pada harga RM3,999.

Pratempahan akan bermula pada 5 hingga 10 September ini sebelum ia dijual di pasaran pada 15 September.

Kemungkinan besar, Malaysia akan menerima kapasiti storan melangkau 128GB bagi harga terbabit.

Lebih manis, Galaxy Note8 akan ditawarkan di Malaysia dengan beberapa produk lain secara percuma bernilai RM888.

Ia termasuk rebat tunai bernilai RM321, pakej perlindungan Samsung Protection Plus (RM298), pek bateri 5100mAh (RM269) dan kasing.

Pakej perlindungan Samsung Protection Plus bermakna anda akan menerima satu tahun lagi jaminan tambahan untuk masalah mekanikal dan elektrikal sementara perlindungan skrin retak juga ditawarkan selama setahun.

Pengguna turut mampu mengawal aplikasi yang mahu ditempatkan di sisi skrin bagi notifikasi ringkas.

IT@Metro senaraikan lapan ciri menarik dalam Note8.

1. Live Focus

Rakam foto lebih kurang empat kaki dari subjek dan ciri Live Focus akan aktif secara automatik.

Anda boleh merakam imej dengan kesan bokeh (kaburkan latar belakang) meskipun pada pasca rakam dengan hanya meleretkan jari pada bar ‘slide’ atau ubahnya secara manual.

2. Hantar mesej ‘Live’

Berbanding menghantar mesej berbentuk teks yang membosankan, S-Pen membolehkan anda melukis sesuatu dan menghantarnya dalam bentuk animasi kepada individu lain.

3. GIF

Gunakan S-Pen sekali lagi dengan ‘Smart Select’ untuk mencipta sendiri animasi GIF melampirkan beberapa klip video kemudian berkongsinya di media sosial.

4. S-Pen sekali lagi jadi jiwa Note8

Meneruskan tradisi pen khas, Note8 datang dengan S Pen yang mempunyai lebih fungsi termasuk menulis pada skrin pada mod ‘off’ sehingga 100 muka surat.

5. Guna dua aplikasi serentak

Pengguna Android terutama Note8 ini boleh membuka dua aplikasi serentak apatah lagi dengan skrin besar 6.3 inci dengan nisbah 18.5 x 9 menyaksikannya lebih mudah untuk melihat paparan yang lebih jelas.

Ciri baru, ‘App Pair’ membolehkan anda mencipta butang ‘custom’ pada hujung sisi panel.

6. Dua WhatsApp, serentak!

Ada dua nombor yang digunakan? Note8 membolehkan anda membuka dua aplikasi permesejan lebih tepat, WhatsApp yang menjadi aplikasi penting rakyat di negara ini.

7. Terjemahan ayat

Hanya halakan S-Pen ke ayat yang ingin diterjemahkan dan ia akan memaparkan terjemahan pantas.

Contohnya, anda sedang melihat menu dalam bahasa Mandarin, halakan kamera dan bariskan ayat terbabit untuk terjemahan pantas.

Ya, ia menyokong bahasa Malaysia juga!

8. Rakam dua foto serentak

Mod Dual Capture membolehkan dua kamera beresolusi 12 megapiksel merakam dua ‘shots’ pada masa sama dan ia menyimpan kedua-duanya serentak.

Satu gambar adalah foto ‘close up’ hasil lensa telefoto (yang juga kini dengan zum optikal 2x) manakala satu lagi rakaman dalam bentuk sudut lebar yang menampakkan latar belakang lebih luas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 12:02 AM