BINGKAI unik Galaxy S8, S8+ dengan sisi melengkung.

Wan Nur Ameera Meor Razman

itmetro@hmetro.com.my

Samsung Electronics Malaysia (SME) kini menghangatkan industri peranti pintar tempatan dengan pengenalan Galaxy S8 dan S8+.

Dengan pengenalan produk terbaru, pastinya syarikat gergasi berkenaan tampil dengan pelbagai pembaharuan termasuk dari aspek spesifikasi dan reka bentuk.

Kedua-dua model yang bezanya hanya terletak pada saiz skrin and kapasiti bateri, Galaxy S8 dan S8+ diperbuat daripada penyatuan unik bahan premium kaca dan logam, memberi penampilan yang amat bergaya untuk pengguna.

Membawakan inovasi lain daripada yang lain, Galaxy S8 dan S8+ mempunyai kuasa untuk mengubah cara kita melihat, berfikir dan hidup, lebih-lebih lagi terhadap pelaksanaan dalam sesuatu perkara.

Di sebalik pengenalan model hasil teknologi terkini itu, tiga elemen diutamakan antaranya rekaan skrin, kecerdasan serta ekosistem peranti. 

Justeru, Samsung kali ini memperkenalkan rekaan serba baru dengan skrin lebih luas serta rangka bingkai yang nipis. 

Galaxy S8 didatangkan dengan skrin berukuran 5.8 inci dan berat 155g manakala Galaxy S8+ tampil lebih panjang pada ukuran 6.2 inci seberat 173g. 

Ciri skrin peranti yang luas di panggil Infinity Display mampu menawarkan lebih kekebasan ruang pelayar kepada pengguna dalam melakukan pelbagai tugasan berkaitan termasuk untuk mencari keseronokkan seperti menonton video dan bermain permainan. 

Berketebalan antara 8.0mm hingga 8.1mm, kedua-dua peranti terbabit juga dilihat lebih nipis daripada versi sebelumnya, sekali gus memberikan pengguna keselesaan untuk memegangnya.

Di samping itu, Galaxy S8 dan S8+ bakal menemui pelanggan dengan rekaan bingkainya yang lebih kecil dan sisi melengkung.

Dari aspek skrin utama pula, Galaxy S8 dan S8+ direka sedikit berbeza berbanding model sedia ada dan kelainan yang ditampilkan termasuk ikon, bar carian dan widget cuaca.

Pengeluaran peranti yang seiring dengan peredaran inovasi dan teknologi inovatif ini membuatkan Galaxy S8 danS8+ dicipta tanpa kehadiran Home Button.

Malah, ia dicipta dengan sokongan pembantu maya digital iaitu Bixby yang berfungsi untuk meringankan urusan pengguna.

Kini, Galaxy S8 yang ditawarkan pada harga RM3,299 dan Galaxy S8+ pada nilai RM3,699 masing-masing boleh dibeli daripada pengedar sah berdekatan seluruh negara dengan pilihan warna Midnight Black, Orchid Gray dan Maple Gold.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 2:38 AM