NIK Mastura
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


WAJAHNYA manis, tutur katanya lembut menjadikan wanita kelahiran Kota Bahru, Kelantan ini cukup mudah didekati.

Berkenalan dengan wanita hebat ini, penulis tidak menyangka dia sebenarnya mempunyai misi dan visi hebat dalam memperkasakan wanita terutama untuk membantu lebih ramai menjana pendapatan sendiri.

Atas sebab itu waktu hariannya kelihatan sangat sibuk, dia juga sentiasa mempunyai urusan yang perlu diselesaikan dan pada masa sama perlu menguruskan suami dan anak-anak.

Nik Fatimah Mastura Nik Azmi, 34, yang juga graduan jurusan Pentadbiran Sains dan Pengajian Polisi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam mempunyai sebab tersendiri mengapa dia bekerja keras untuk memastikan apa yang diusahakan berkekalan.

Bagi Nik Fatimah Mastura atau lebih mesra dengan panggilan Mas, dia menceburi bidang kecantikan bukan semata-mata demi keuntungan malah lebih daripada itu.

“Saya bermula sebagai usahawan dengan mengeluarkan produk kecantikan berasaskan bahan semula jadi atas jenama Qaleer Beauty dan spa bergerak, QBS Mobile Spa namun itu hanyalah cerita permulaan.

“Saya tekad membantu wanita negara ini untuk tampil cantik dengan meng-gunakan produk selamat selain dalam masa sama membantu ramai wanita untuk menambah pengetahuan dalam bidang spa bergerak terutama wanita tidak bekerja atau ibu tunggal,” katanya.

Katanya, dia bersama rakan kongsi, Che Nor Asyura Che Kamarudin tekad berusaha merealisasikan apa yang dihajati dalam memastikan lebih ramai wanita mampu berdiri di atas kaki sendiri.


ANTARA peserta kelas spa bergerak QBS.

“Di QBS Mobile Spa kami membuka peluang kepada wanita untuk menjadi usahawan berjaya hasil usaha sendiri dalam bidang kecantikan.

“Kami ajar teknik rawatan tradisional seperti totok wajah, torok aura wajah, urutan tradisi yang sepenuhnya menggunakan hasil tangan sendiri tanpa mesin,” ujarnya.

Menurutnya, hakikatnya tidak mudah apatah lagi untuk memastikan silibus pengajaran itu mampu difahami dan dipraktikkan namun pihaknya tekad untuk terus membantu.

“Saya juga wanita dan saya tahu bagaimana susahnya untuk berdepan kos sara hidup yang semakin meningkat ditambah sekiranya semua itu perlu ditanggung sendiri. Bebanan akan lebih terasa jika wanita itu juga perlu menjaga ibu bapa yang sudah tua.

“Memikirkan semua itu menaikkan semangat saya untuk lebih mencapai apa yang diimpikan. Paling membanggakan apabila melihat mereka dapat menjana pendapatan hasil modul pembelajaran yang kami berikan,” katanya.

Nik Fatimah Mastura berkata, perjalanan hidup­nya tidak semudah disangka apatah lagi untuk mengekalkan penerimaan pengguna kepada produknya yang menerima saingan sengit.

“Kebanyakan pelanggan mahu hasil pantas, mahu putih cepat dan ia menjadi antara cabaran terbesar buat saya. Syukur, walaupun kadangkala perit kami dapat bertahan selama lebih tiga tahun dan kini sudah melatih lebih 100 wanita dalam bidang spa bergerak.

Hanya linangan air mata kegembiraan untuk menggambarkan keseronokan saya dan rakan kongsi kerana dapat melaksanakan impian. Nikmat kegembiraan lebih dirasai sekiranya kita dapat menyalurkan sedikit sumbangan kepada insan memerlukan,” ujarnya.

Katanya, dia juga berusaha menyusun jadual hariannya sebaik mungkin bagi memastikan perniagaan dan keluarga terutama anak-anak tidak terabai.

“Memang jadual harian saya sangat sibuk dan kadang kala kurang masa bersama suami dan anak-anak. Inilah sebabnya saya selalu menceritakan perjalanan kerja saya kepada anak-anak supaya mereka lebih faham.

“Hanya Tuhan tempat saya mengadu dan berdoa semoga segala urusan saya dipermudahkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 5:40 AM